Thursday, February 27, 2014

Zaid Ibrahim 'sound' Rafizi Ramli

pilihanraya kini     3:00 PM    


Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Zaid Ibrahim hari ini menafikan dakwaan Pengarah Stategi PKR, Rafizi Ramli kononnya beliau terlibat dengan salahguna kuasa ketika menjadi pemimpin parti itu.

Rafizi semalam mendakwa Zaid pernah menghantar dua emel kepadanya agar melobi projek pembangunan bersama Kumpulan Hartanah Selangor Berhad (KHSB) dan meminta Ahli Parlimen Pandan itu campur tangan dengan melobi Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim untuk meluluskan cadangan yang dibuat oleh rakan atau pihak yang bersabit dengan Zaid.

Menafikan perkara itu, Zaid berkata tiada kaitan dengan syarikat yang disebut Rafizi dan beliau hanya menulis emel itu agar dipertimbangkan cadangan pembangunan yang diajukan syarikat terbabit. 

"Saya tegaskan di sini saya tidak ada kena mengena dengan dua syarikat yang dikatakan Rafizi. Saya tidak ada kepentingan, untuk diri sendiri, keluarga dan rakan. Saya hanya menulis emel bukan melobi.

"Saya (minta dipertimbangkan sebab saya lihat dia (syarikat tersebut) ada tanah untuk dibangunkan, apa yang luar biasa sangat tu? jadi (Datuk Seri) Anwar (Ibrahim) dan Rafizi tidak pernah buat begitu? (beri sokongan)," katanya kepada wartawan semasa sidang media hari ini.

Zaid bagaimanapun menempelak Rafizi apabila tidak mendedahkan fakta sebenar iaitu syarikat yang cuba dikaitkan dengan beliau itu, gagal mendapat apa-apa projek daripada kerajaan negeri Selangor.

"Satu masalahnya ada masalah untuk dibangunkan oleh kerajaan negeri sebab ada masalah memenuhi syarat kerajaan negeri, itu sahaja.

"Kenapa Rafizi tidak dedahkan adakah apa yang saya ajukan itu diluluskan atau tidak," tegasnya.

Beliau menambah, ketika emel itu dihantar, jawatan Rafizi hanyalah pembantu Anwar dan bukannya pembuat keputusan bersabit projek-projek kerajaan negeri.

"Ketika itu Rafizi hanya budak Anwar yang tiada jawatan. Jika saya hendak melobi untuk kepentingan saya, saya boleh terus jumpa dengan Menteri Besar atau Exco, bukan budak pejabat Anwar," katanya.

Justeru Zaid menyifatkan tindakan Rafizi yang cuba memburukkan imejnya menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Kajang, sebagai 'berhati busuk' dan 'budak suruhan' Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Zaid sebelum ini mengumumkan akan bertanding sebagai calon bebas pada PRK yang akan berlangsung 23 Mac ini. 

"Anwar kata hanya MCA sahaja pencabarnya tapi peluru berpandu ditujukan kepada saya. Janganlah Anwar berselindung di sebalik Rafizi," ujarnya.

Bekas Naib Presiden PKR itu turut menegaskan, rekodnya di dalam kabinet serta intergritinya jauh lebih bersih jika dibandingkan dengan Anwar.

Justeru, Zaid menasihatkan Rafizi agar tidak berlagak sebagai 'hero' hanya kerana sudah menjadi Ahli Parlimen Pandan. - Antarapos


0 comments :

© 2011-2014 PILIHANRAYA KINI . Designed by Bloggertheme9. Powered by Blogger.