Wednesday, March 5, 2014

Artis bakal jadi ahli politik

pilihanraya kini     9:18 AM    


Membawa dua nama yang berbeza, penyanyi hebat ini mengakui ada yang perlu disesuaikan dirinya demi sebuah kehidupan. Mula dikenali sebagai Sigit Purnomo Syamsuddin Said dan kini hanya dikenali dengan nama Pasha Ungu, jujurnya ada yang perlu dikorbankan Pasha demi perjalanan kariernya kini. Walaupun di ambang populariti dia agak selesa, namun kini soal itu bukan lagi sesuatu yang mudah untuk dirinya .

Mengakui menjadi fokus utama buat kumpulannya, Pasha dengan rendah hati menjelaskan sisi perubahan yang dilakukan ini lebih kepada tanggungjawab. Mula dikenali sebagai vokalis kumpulan Ungu pada tahun 1999, tiada apa yang lebih mengejutkan buat bapa kepada lima anak ini untuk mengetahui tiada lagi rahsia dalam hidupnya.

“Mulanya saya selesa dengan kondisi saya sebagai penyanyi kepada kumpulan Ungu.

“Bagaimanapun tahun demi tahun semuanya berubah, apabila semua perkara saya perlu berkongsi dan karya kami bukan lagi menjadi fokus utama. Akhirnya saya tidak boleh berahsia lagi," katanya.

Menjelaskan bukan mudah untuk membawa nama sebuah kumpulan yang diakui mempunyai kekuatannya sendiri. Bagi Pasha itu merupakan pengorbanan yang perlu dilakukan dirinya demi memastikan karya mereka terus dinikmati peminat.

“Kalau ikutkan memang berbeza kehidupan lalu saya sebelum dikenali sebagai Pasha. Memang bukan mudah untuk membawa nama Ungu.

“Melihat drama yang berlaku dalam kehidupan saya kini, jujurnya bukan mudah memandangkan saya tidak boleh menjadi orang lain selain diri sendiri. Untuk memastikan semua ini berlangsung dengan baik, saya perlu berubah," katanya.

Menyentuh soal keluarga, menurut Pasha kehidupan keluarganya kini tidak ubah seperti keluarga lain. Menjelaskan isterinya lebih selesa berada di rumah, dia juga bersyukur dengan kehadiran anak keduanya bersama Adelia Wilhelmina pada Ogos lalu.

“Isteri saya memang seorang yang berdikari, jadi dia tidak terlalu mengganggu saya dengan soal anak-anak.

“Memandangkan dia memang suri rumah jadi, kebanyakan masa juga sama seperti ibu-ibu lain. Walaupun saya baharu menerima anak kedua pada Ogos lalu, mungkin isteri saya kini mengandung lagi," katanya ketawa yang berkongsi keadaan isterinya kini yang mual-mual.

Tidak menolak anak sulungnya melalui perkahwinan pertama, Kisya Alvaro Putra Sigit, 10, kini juga selesa bergelar penghibur, bagi Pasha itu bukan suatu masalah buat dirinya. Menurutnya lagi sebagai bapa dia akan sentiasa menyokong pilihan anaknya itu. Walaupun sedikit sukar untuk mendedahkan anak-anaknya kepada dunia hiburan, bagi Pasha semua yang berlaku ini mempunyai sebab.

“Bukan saya yang menyuruh dia berlakon dan menyanyi, memang itu minatnya. Saya tidak mempunyai masalah untuk mereka berada dalam dunia hiburan tetapi biar utamakan pengajian dahulu.

“Adelia sebenarnya memang tidak mahu anak kami diberi pendedahan, bagaimanapun kalau sudah terpaksa itu tidak mengapa," katanya yang mempunyai lima anak daripada dua perkahwinan iaitu Kisya Alvaro Putra Sigit, Shakinah Azalea Napasha, Nasha Anaya Putri Valentina Pasha, Dewa Hikari Zaidan Ibrahim dan Sakha Dyandra Sultan Yusuf.

Politik pilihan Pasha

Umumnya dunia politik Indonesia kini sibuk bagi memilih presiden baharu menggantikan Presiden Susilo Bambang Yudhoyono. Tidak berselindung mengenai niatnya untuk turut serta dalam dunia politik suatu hari nanti, Pasha dengan jelas memberitahu politik adalah pilihannya selepas dunia muzik.

“Kalau saya tidak ada dalam dunia muzik, mungkin saya dalam dunia politik kini.

“Memang saya suka bidang politik, tetapi saya tidak fikir saya akan terjun dalam bidang itu sekarang," katanya.

Masih belum membuat keputusan untuk melangkah ke dunia berbeza itu, bagi Pasha minat sahaja tidak menjamin apa-apa.

“Buat masa ini memang saya ada dijemput membuat ceramah. Sama ada saya layak menjadi ahli politik atau tidak itu bukan soalan yang saya boleh jawab.

“Memang ada tawaran untuk saya bergiat aktif dalam bidang ini, tetapi secara peribadi saya fikir mungkin belum sampai waktunya untuk saya sertai," katanya. -Utusan/Hiburan


0 comments :

© 2011-2014 PILIHANRAYA KINI . Designed by Bloggertheme9. Powered by Blogger.