Monday, March 10, 2014

Chong Wei rampas gelaran dari atlet China

pilihanraya kini     8:54 AM    


DATUK Seri Najib hari ini mengucapkan tahniah kepada Datuk Lee Chong Wei di atas kejayaannya merangkul Kejohanan Badminton All England untuk kali ketiga awal pagi tadi (waktu Malaysia).

Perdana Menteri itu menyifatkan keupayaan Chong Wei merampas kembali kejuaraan itu dalam saingan perseorangan lelaki dari juara bertahan, Chen Long sebagai kejayaan membanggakan dan akan diingati oleh rakyat Malaysia.

"Chong Wei telah membuat Malaysia bangga sekali lagi.

"Beliau menunjukkan ketabahan dan keazaman yang tinggi. Saya yakin kejayaan ini akan diingati dalam satu tempoh jangka yang panjang," katanya menerusi laman Twitter beliau.

Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin turut berkongsi pendapat yang sama dan menganggap kejayaan itu amat diperlukan buat Malaysia.

"Terima kasih Chong Wei. Kita memerlukan kejuaraan All England 2014," katanya sejurus perlawanan itu tamat di laman Twitter.

Pada aksi final yang berlangsung di Arena Tertutup Nasional Birmingham England itu, Chong Wei kembali merampas gelaran dengan melakar kemenangan straight set 21-13 dan 21-18 dalam pertarungan yang berlarutan selama 59 minit.

Kemenangan ini merupakan gelaran ketiga bagi Chong Wei setelah memenanginya pada tahun 2010 dan 2011.


0 comments :

© 2011-2014 PILIHANRAYA KINI . Designed by Bloggertheme9. Powered by Blogger.