Monday, March 31, 2014

Jangan terlibat Reformasi 2.0 - Mukhriz

pilihanraya kini     9:30 AM    


Orang ramai dinasihatkan tidak terlibat dengan Himpunan Derita Rakyat (Reformasi 2.0) yang dianjurkan pembangkang di Baling pada 5 April ini.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, himpunan itu adalah tindakan tidak berfaedah kerana kedatangan pemimpin pembangkang hanya untuk menimbulkan rasa benci dan marah rakyat terhadap kerajaan negeri pimpinan BN.

“Saya harap apabila ada pemimpin pembangkang datang ke Kedah, tidak perlulah rakyat hadir walaupun sekadar nak dengar apa yang mereka katakan.

“Kita pun sudah tahu apa yang mereka nak kata. Kononnya nak memperingati peristiwa Baling ke-40 tahun. Itu semua kerja yang tidak berguna,” katanya ketika merasmikan perhimpunan jawatankuasa kemajuan dan keselamatan kampung (JKKK) Kedah di Dewan Wawasan, di sini, hari ini.

Beliau berkata, pembangkang akan melontarkan pelbagai tohmahan, terutama ketika negara sedang menghadapi situasi kenaikan harga barang dan harga getah turun.

Menurutnya, kerajaan negeri dan persekutuan mengetahui masalah yang dihadapi rakyat disebabkan beberapa perkara luar kawalan kerana berlaku peringkat antarabangsa.

Bagaimanapun, kerajaan negeri tidak menjadikannya sebagai alasan kenaikan kos sara hidup dan akan berusaha mencari penyelesaian terbaik menepati cita rasa rakyat.

“Pada 27 Mac lalu, saya meminta Exco Industri dan Pelaburan, Perdagangan Dalam Negeri, Hal Ehwal Pengguna dan Koperasi, Datuk Ku Abdul Rahman Ku Ismail bersama dengan agensi kerajaan persekutuan khususnya yang terlibat dengan getah untuk memberi taklimat dan penjelasan mengenai situasi yang sedang berlaku dalam soal penurunan harga getah.

“Itu cara terbaik dan kaedah yang dilakukan oleh kerajaan yang bertanggungjawab. Berbeza dengan pembangkang, kerja mereka hanya untuk menimbulkan prasangka buruk rakyat terhadap kerajaan,” katanya.

Mukhriz berkata, BN adalah sebuah kerajaan yang prihatin dan pegang kepada amanah serta akan melaksanakan amanah yang dijanjikan semasa PRU13 lalu.

“Pada masa ini, kerajaan negeri sedang berusaha mencari cara meningkatkan pendapatan rakyat termasuk menjana sumber pendapatan," katanya. - Sinar


1 comments :

Anonymous said...

Pemimpin yg bertanggungjawab demontrasi baling dulu pernah menjadi menteri ada dia kisah hal rakyat. Kerja dia hanya meliwat otak rakyat.

© 2011-2014 PILIHANRAYA KINI . Designed by Bloggertheme9. Powered by Blogger.