Wednesday, March 5, 2014

Komando VAT69 nampak penceroboh mati

pilihanraya kini     11:52 AM    


Seorang komando VAT69 memberitahu Mahkamah Tinggi di sini, semalam beliau hanya memerhati dua penceroboh mati selepas rebah ditembak semasa operasi bagi menghalang penceroboh melepaskan diri dari Kampung Tanjung Batu, Lahad Datu tahun lepas.

Sarjan Zulkifli Buang berkata pada kira-kira 3 petang 6 Mac tahun lepas, beliau terdengar bunyi tembakan yang dipercayainya datang dari arah pasukan DSP Abdul Rani Alias yang melakukan operasi pembersihan bersama-sama pasukan Angkatan Tentera Malaysia di satu kawasan di kampung itu.

"Beberapa minit kemudian, kami melihat lima hingga enam orang berlari membawa senjata menyerupai 'rifle' ke arah kumpulan saya yang membuat operasi 'cut-off'," katanya semasa pemeriksaan utama yang dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Datuk Abdul Wahab Mohamed.

Zulkifli berkata semasa lima hingga enam orang penceroboh itu berlari ke arah pasukannya, jaraknya ialah kira-kira 30 meter.

"Selepas itu, kumpulan saya melepaskan tembakan ke arah mereka secara serentak. Dua daripada mereka rebah ke bumi," katanya.

Menjawab soalan Abdul Wahab sama ada terdapat senjata pada penceroboh yang rebah itu, Zulkifli berkata beliau tidak pasti kerana pasukannya tidak membuat pemeriksaan.

"Saya hanya memerhati dan pastikan penceroboh mati. Kami tidak buat pemeriksaan sebab keadaan masih tidak selamat dan mendedahkan saya dan pasukan saya kepada tembakan (dari penceroboh) lain," jelasnya.

Beliau turut memberitahu mahkamah bahawa beliau tidak memeriksa gambar udara di Kampung Tanduo, yang diambilnya susulan pencerobohan pengganas dari Selatan Filipina di kampung itu pada Februari tahun lepas.

Beliau hanya ditugaskan untuk mengambil gambar udara kampung itu dan kemudian memindahkan gambar berkenaan dari kameranya ke komputer sekembali di Markas Taktikal VAT69 di Felda Sahabat 16, Lahad Datu.

"Saya tidak periksa gambar-gambar yang saya ambil. Gambar-gambar itu untuk penilaian pegawai-pegawai lain yang diberi tugas itu (menilai gambar)," katanya ketika pemeriksaan balas oleh peguam Datuk N. Sivananthan.

Zulkifli berkata beliau telah mengambil lebih 700 keping gambar pada 23, 27 dan 28 Feb tahun lepas.

Semasa misi mengambil gambar udara di Kampung Tanduo, beliau hanya dapat melihat bentuk muka bumi, pokok kelapa sawit, jalan dan struktur bangunan yang terdapat di kampung itu.

Mahkamah membicarakan 30 individu yang didakwa melakukan pelbagai kesalahan berkaitan kegiatan keganasan di Sabah antara 12 Feb dan 10 April, seramai 22 orang termasuk dua rakyat Malaysia dituduh menganggotai kumpulan pengganas, dan jika sabit kesalahan, mereka berdepan hukuman penjara seumur hidup dan denda.

Mereka turut berdepan pertuduhan melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong yang membawa hukuman mati mandatori atau penjara seumur hidup, jika sabit kesalahan. 

Seorang daripada mereka turut berdepan dua pertuduhan tambahan iaitu merekrut anggota kumpulan pengganas dan melindungi individu yang diketahui adalah anggota kumpulan pengganas. 

Lima individu daripada lapan tertuduh lagi berdepan pertuduhan menjadi anggota kumpulan pengganas manakala seorang lagi, iaitu satu-satunya wanita dan merupakan warganegara Malaysia, didakwa melindungi individu yang diketahuinya adalah anggota kumpulan pengganas.

Dua lagi berdepan pertuduhan cuba melindungi individu yang diketahui adalah anggota kumpulan pengganas.

Sejumlah 27 tertuduh merupakan warga Filipina manakala bakinya adalah warga tempatan. 

Perbicaraan di depan Hakim Stephen Chung, yang bersidang di Jabatan Penjara Sabah, disambung hari ini. - Bernama


0 comments :

© 2011-2014 PILIHANRAYA KINI . Designed by Bloggertheme9. Powered by Blogger.