Thursday, March 27, 2014

#MH370: Banyak serpihan ditemui pasukan SAR

pilihanraya kini     11:30 AM    


Gambar satelit Airbus Defence and Space bertarikh 23 Mac lalu yang diteliti Agensi Remote Sensing Malaysia (MRSA) menemui 122 objek berpotensi serpihan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 di selatan Lautan Hindi.

Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, objek-objek yang bertebaran di kawasan seluas 400 kilometer persegi itu terletak 2,557 kilometer dari Perth, Australia.

Jelas beliau, objek-objek yang dikesan itu bersinar, berbentuk keras dan objek paling panjang berukuran 23 meter.

Katanya, imej satelit dari syarikat berpangkalan di Perancis itu diterima MRSA semalam.

"Kita menyalurkan maklumat satelit ini kepada pusat koordinasi operasi di Perth, Australia semalam dan ini merupakan petunjuk terbaharu.

"Dengan ini, kita sudah mempunyai empat petunjuk imej satelit termasuk daripada Australia, China dan Perancis untuk mengesan serpihan pesawat.

''Perlu ditekankan bahawa kami tidak boleh memaklumkan sama ada objek yang berpotensi itu adalah dari MH370. Bagaimanapun, ini merupakan satu lagi petunjuk yang dapat membantu memberi arah kepada operasi mencari," katanya dalam sidang akhbar di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Turut menyertai sidang akhbar itu adalah Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam, Datuk Azharuddin Abdul Rahman.

Menurut Hishammuddin, Australia kekal mengetuai operasi pencarian di selatan Lautan Hindi dan Malaysia berperanan sebagai koordinator operasi.

Jelas beliau, operasi mencari di kawasan itu dipecahkan kepada dua sektor iaitu timur dan barat dengan melibatkan penyertaan pelbagai aset udara dan marin.

"Pencarian melalui udara di sektor timur akan melibatkan satu pesawat P3 Orion Australia, tiga pesawat sivil Australia, satu pesawat Ilyushin IL-76 China dan satu pesawat P3 Orion Australia.

Pencarian di sektor barat pula melibatkan satu pesawat Amerika Syarikat (AS) P8 Poseidon, satu pesawat Korea Selatan P3 Orion, satu pesawat Jepun P3 Orion, dua pesawat Australia P3 Orion dan satu pesawat sivil Australia," katanya.

Menurutnya, kapal Australia HMAS Success telah dihantar ke sektor barat manakala kapal China, Xue Long dihantar ke sektor Timur.

Dalam pada itu, Hishammuddin memaklumkan sebuah kumpulan kerja antarabangsa telah ditubuhkan untuk mengkaji lebih lanjut data daripada satelit Inmarsat dan menentukan lokasi terakhir pesawat MH370.

Katanya, kumpulan kerja itu terdiri daripada Inmarsat, Cawangan Siasatan Kemalangan Udara United Kingdom (AAIB), Jabatan Penerbangan Awam China (CAAC), agensi AAID dari China, National Transport Safety Board (NTSB) AS, Federal Aviation Administration (FAA) AS, Boeing, Rolls Royce dan agensi- agensi Malaysia berkaitan. - Utusan


0 comments :

© 2011-2014 PILIHANRAYA KINI . Designed by Bloggertheme9. Powered by Blogger.