Friday, March 28, 2014

#Parlimen: Satu penghinaan jika bukan Islam baca al Quran atau teksnya

pilihanraya kini     11:30 AM    


Orang bukan Islam digesa segera menghentikan penggunaan ayat-ayat suci al-Quran.

Bahkan, tindakan pemimpin politik bukan Islam menggunakan teks suci Islam termasuk al Quran secara sewenang-wenangnya dan tidak menepati maksud sebenar boleh mendatangkan penghinaan terhadap kesucian Islam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, ini kerana mereka sendiri tidak faham akan ayat-ayat tersebut tetapi dilihat dengan sengaja membaca dan menghuraikan teks al-Quran mengikut fahaman sendiri.

Malah, ia juga boleh mendatangkan keraguan dan fitnah di dalam masyarakat.

Sejak kebelakangan ini, ada pemimpin pembangkang bukan Islam cenderung memetik kandungan al-Quran sama ada membaca atau tafsir maksudnya di Parlimen atau dalam ceramah masing-masing.

Jelas Jamil Khir isu ini diputuskan Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia pada 3 Disember 2010 dalam satu Muzakarah Khas.

“Pada dasarnya ia hendaklah dilakukan dengan jujur dan ikhlas bukan untuk kepentingan dan tujuan tertentu atau peribadi, apatah lagi jika ia dilakukan dengan kesalahan sama ada pembacaan atau huraiannya yang menyimpang dari kehendak sebenar,” katanya di Dewan Rakyat, Khamis.

Sementara itu, berhubung isu penggunaan kalimah Allah, Jamil Khir menasihatkan semua pihak supaya menghormati keputusan Mahkamah Rayuan.

Malah tidak mengeluarkan apa-apa kenyataan sehingga Mahkamah Persekutuan membuat keputusan.

“Sehubungan itu saya tidak akan memanjangkan isu ini, kerana ia boleh dianggap sebagai sub judice,” katanya.-bnbbc.my


0 comments :

© 2011-2014 PILIHANRAYA KINI . Designed by Bloggertheme9. Powered by Blogger.