Friday, March 28, 2014

#PRKBalingian: Beri kemenangan besar kepada BN - Adenan

pilihanraya kini     8:00 PM    


Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem mahu pengundi memberi kemenangan besar kepada calon BN pada Pilihan Raya Kecil Balingian Sabtu ini.

Adenan yang juga Pengerusi BN Sarawak berkata, beliau yakin calon BN yang diwakili bekas pegawai daerah Dalat, Yussibnosh Balo, 48, akan dapat menewaskan calon PKR Abdul Jalil Bujang, 55, seorang ahli perniagaan.

"Saya mahu (menang) dengan majoriti besar sehingga calon pembangkang hilang wang pertaruhan," katanya dalam sesi pemimpin bersama rakyat di Dewan Intergrasi Kampung Jembungan di sini hari ini.

Beliau turut menasihati penyokong BN agar menjauhi sindrom terlalu yakin dan memberi contoh kekalahan bekas Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Dr Wong Soon Kai pada pilihan raya Dun 2006 yang menyaksikan BN tewas hanya dengan perbezaan 200 undi.

Dun Balingian mempunyai 13,366 pengundi berdaftar dengan 133 orang telah menjalankan pengundian awal pada 25 Mac dan selebihnya iaitu 13,233 pengundi biasa akan mengundi di 21 pusat mengundi pada Sabtu ini.

Dalam pilihan raya Dun 2011, bekas penyandang dan bekas Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud mengekalkan kerusi itu dalam pertandingan tiga penjuru menewaskan calon bebas Datuk Salleh Jafaruddin dan calon PKR Suriati Abdullah dengan majoriti 5,154 undi. - Bernama


0 comments :

© 2011-2014 PILIHANRAYA KINI . Designed by Bloggertheme9. Powered by Blogger.