Thursday, March 27, 2014

#PRKBalingian: Jangan engkar arahan undang-undang - Abdul Ghani

pilihanraya kini     1:30 PM    


Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) meminta semua pihak sentiasa mematuhi undang-undang yang ditetapkan semasa berkempen dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Balingian yang memasuki hari kesembilan hari ini.

Setiausahanya, Datuk Abdul Ghani Salleh berkata, setakat ini pihaknya berpuas hati kerana suasana kempen berlangsung tanpa sebarang provokasi daripada parti yang bertanding.

"Tidak kira pihak mana pun, dalam pertandingan ini pasti ada menang dan kalah. Hakikat ini perlu diterima agar tiada perkara yang tidak diingini berlaku," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas melawat pusat pengundian awal di Dewan Serbaguna Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mukah di sini.

Hari pengundian PRK DUN Balingian yang menyaksikan pertandingan antara calon Barisan Nasional (BN), Yussibnosh Balo, 48 dan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Abdul Jalil Bujang, 55 akan berlangsung Sabtu ini.

Mengulas mengenai proses pengundian awal hari ini, Abdul Ghani berkata, segalanya berjalan lancar tanpa sebarang masalah.

Beliau berkata, sebanyak 99.25 peratus atau 132 orang daripada 133 orang pengundi awal di DUN Balingian telah mengundi sebelum pusat mengundi awal ditutup pada pukul 5 petang.

"Pengundi awal terdiri daripada 133 anggota keselamatan mula mengundi sejak pukul 8 pagi dan setakat pukul 10 pagi, seramai 58 orang atau 43 peratus telah menunaikan tanggungjawab tersebut.

"Proses pengundian berjalan agak lambat pada waktu pagi kerana pengundi dalam kalangan anggota polis mungkin menghadiri sambutan Hari Polis yang diadakan pagi ini namun peratusan keluar meningkat menjelang tengah hari," ujarnya.



0 comments :

© 2011-2014 PILIHANRAYA KINI . Designed by Bloggertheme9. Powered by Blogger.