Tuesday, March 18, 2014

#PRKBalingian mungkin yang terbaik

pilihanraya kini     5:30 PM    


Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yakin proses Pilihan Raya Kecil (PRK) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Balingian akan berlangsung dalam suasana baik dan boleh dijadikan sebagai contoh kepada PRK lain di negara ini pada masa hadapan.

Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Yusof (gambar) berkata, proses penamaan calon N15 Balingian berjalan lancar, tiada masalah dan insiden tidak diingini berlaku.

Beliau berkata, calon Barisan Nasional (BN), Yussibnosh Balo memasuki dewan untuk mengisi borang penamaan pada pukul 9.03 pagi, diikuti calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Abdul Jalil Bujang pada pukul 9.07 pagi.

"Penyerahan borang tidak ada kesilapan dan masalah. Proses penamaan diselesaikan dalam masa singkat tetapi SPR kena ikut undang-undang sebelum boleh membuat pengumuman kerana tempoh penamaan berlangsung mulai pukul 9 hingga 10 pagi.

"Proses penamaan di sini adalah terbaik kerana mendapat kerjasama daripada semua pihak. Saya juga yakin proses kempen dan pengundian juga berjalan lancar dan PRK DUN Balingian akan menjadi contoh kepada PRK lain selepas ini," katanya dalam sidang akhbar selepas selesai proses penamaan calon PRK DUN Balingian di Dewan Suarah Mesra Mukah di sini hari ini.

Menurut Abdul Aziz, kesemua 1,500 penyokong dari kedua-dua parti juga tidak melanggar peraturan dan mencetuskan masalah ketika proses penamaan berlangsung kerana masing-masing mengikut adat resam dan cara hidup masyarakat di situ.

Beliau berkata, kempen pilihan raya kini sudah bermula dan akan tamat pada pukul 12 tengah malam, 28 Mac ini.


0 comments :

© 2011-2014 PILIHANRAYA KINI . Designed by Bloggertheme9. Powered by Blogger.