Friday, March 21, 2014

#PRKKajang: Azmin Ali tidak percaya kajian 4 IPT

pilihanraya kini     10:30 AM    


Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali menyifatkan hasil kaji selidik yang dijalankan lima institut pengajian tinggi (IPT) mengenai Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Kajang sebagai tidak menyeluruh kerana hanya melibatkan kelompok responden yang kecil.

Justeru beliau menolak dapatan yang mengatakan penduduk N25 tidak menerima Langkah Kajang dan mahu mengekalkan Tan Sri Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor.

Azmin kemudiannya menegaskan apa yang lebih penting kini adalah memenangkan calon PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pada PRK, Ahad ini. 

"Saya percaya kajian itu tidak mencerminkan keseluruhannya, ia bukanlah mewakili semua suara rakyat.

"Saya juga tidak tahu siapakah yang menganjurkan kaji selidik namun apa yang pasti, kita tidak mahu sebarang perkara menggagalkan kemenangan Datuk Seri Wan Azizah di mana ia boleh menjejaskan bilangan majoriti pengundi," katanya di lobi Parlimen.

Hasil kajian mengenai pola pengundian dan isu semasa menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Kajang menyaksikan sokongan padu rakyat Kajang kepada Khalid selain penolakan mereka kepada Langkah Kajang yang didokong PKR pada PRK kali ini.

Menurut Ketua Penyelidikan Kajian Pola Pengundian PRK DUN Kajang, Dr Muhammad Shamsinor Abdul Azzis, sebanyak 63 peratus penduduk N25 menolak jawatan menteri besar digantikan dengan pemimpin lain.

Kajian yang dilakukan Universiti Selangor (Unisel) dengan kerjasama empat IPT lain itu melibatkan 394 responden di Kajang.

Azmin berkata objektif kaji selidik itu dilihat tidak sesuai untuk dibahaskan buat masa ini.

“Tetapi masanya mungkin tidak kena (untuk tinjauan itu). Kami tidak mahu bercakap berhubung penggantian buat masa ini,” kata Azmin.

Azmin sebelum ini berkata Langkah Kajang adalah usaha PKR untuk menjadikan Ketua Ketua Umumnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor yang baharu.

Bagaimanapun belum sempat Anwar menempah tiket menjadi ADUN, beliau telah hilang kelayakan bertanding setelah didapati bersalah oleh Mahkamah Rayuan atas tuduhan meliwat.

Keputusan itu menguburkan sama sekali hasrat Anwar untuk menjadi menteri besar.

Namun Azmin dan Azizah menegaskan Langkah Kajang tetap akan diteruskan dan segalanya akan dirungkai selepas PKR menang di Kajang.

Khalid dalam reaksinya terhadap hasil kajian lima IPT itu berkata sokongan rakyat Kajang kepadanya menjadi perangsang untuknya bekerja lebih kuat memacu pembangunan Selangor.

Namun, dapatan itu tidak harus diperbesarkan kerana ia bersifat sampingan sahaja.

Selain, Unisel, IPT lain yang terlibat menjalankan kaji selidik ituadalah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Universiti Malaysia Sabah (UMS).


0 comments :

© 2011-2014 PILIHANRAYA KINI . Designed by Bloggertheme9. Powered by Blogger.