Friday, March 14, 2014

#PRKKajang: BN lancar manifesto

pilihanraya kini     5:24 PM    


Calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Kajang, Datin Paduka Chew Mei Fun menggariskan empat ikrar sebagai teras utama perjuangannya sekiranya dipilih menjadi wakil rakyat DUN tersebut.

Empat ikrar tersebut ialah memperkuatkan 'check and balance' terhadap kerajaan negeri Selangor, membetulkan masalah hal ehwal tempatan, memainkan peranan sebagai pihak pembangkang yang konstruktif dan sebagai Duta Muhibbah untuk perpaduan rakyat.

Manakala lima perkara digariskan sebagai janji dan diberi jaminan untuk diselesaikan iaitu menonjolkan Kajang sebagai bandar kebudayaan, memantau dan memastikan kualiti perkhidmatan penyelenggaraan memuaskan, sistem pengangkutan awam yang holistik, menyelesaikan masalah banjir kilat dan kerjasama erat dengan polis dalam membanteras jenayah.

"Ikrar dan janji saya kepada warga Kajang ini ditulis oleh saya sendiri selepas saya melawat lebih dua puluh hari ini. Oleh itu apa yang saya kemukakan ini adalah yang diminta penduduk Kajang," kata beliau. 

"Janji ini bukan saya saja-saja duduk dalam bilik berhawa dingin dan reka.. tidak. Tapi ini semua masalah yang dihadapi penduduk Kajang. Janji ini praktikal dan boleh dilaksanakan," katanya dalam sidang media selepas melancarkan Ikrar dan Janji kepada Warga Kajang.

Turut hadir pimpinan tertinggi MCA seperti Presiden, Datuk Seri Liow Tiong Lai, Timbalan Presiden, Datuk Wee Ka Siong, Ketua Wanita, Datuk Heng Seai Kie dan Ketua Pemuda, Chong Sin Woon.

Chew dalam pada itu berkata, manifesto yang dikemukakannya diyakini mampu dilaksanakan mengambilkira kelebihan yang ada padanya yang oernah menjadi Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara selama dua penggal sebelum diambil alih oleh Tony Pua pada 2008. 

Sementara itu Liow berkata, manifesto Chew mempunyai keistimewaan tersendiri kerana melambangkan komitmen Naib Presiden MCA itu, berbanding manifesto PKR yang katanya ibarat 'menampal' kegagalan kerajaan negeri pimpinan parti tersebut. 

"Kalau kita lihat dengan teliti manifesto Wan Azizah, memang satu kritikan yang begitu hebat kepada kerajaan negeri Selangor, menunjukkan bahawa kerajaan negeri Selangor tak berjaya laksanakan tugas mereka.. bukan saja dalam tempoh sembilan bulan ini bahkan lima tahun yang lalu, sedangkan mereka (PKR) sudah menjadi kerajaan negeri enam tahun lebih. 

"Selalunya mereka hanya tahu mengkritik dan menuding jari kepada orang lain dan hari ini, dalam Pilihan Raya Kecil mereka cuba menunjukkan mereka sebuah kerajaan negeri yang berkesan tetapi banyak isu rakyat tak dapat dilaksanakan," katanya.


0 comments :

© 2011-2014 PILIHANRAYA KINI . Designed by Bloggertheme9. Powered by Blogger.