Saturday, March 22, 2014

#PRKKajang: Jangan abai nasib kami lagi, rayu penduduk

pilihanraya kini     3:30 PM    


Tinggal berbaki sehari sebelum kehangatan PRK Dun Kajang bakal menyaksikan kemuncaknya pada hari membuang undi esok.

Siapa yang menang, siapa yang tewas masih menjadi tanda tanya sehinggalah keputusan diumum rasmi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Bagi rakyat Kajang, apa yang penting adalah calon yang menang akan bekerja keras membela nasib dan sentiasa turun padang untuk mengambil tahu masalah membebani mereka.

Suri rumah, Kartini Johari, 32, meminta masalah utama yang membelenggu rakyat Kajang dapat diselesaikan wakil rakyat yang dipilih.

Katanya, kawasan perumahannya di Taman Putra Kajang menghadapi isu sampah yang serius dan kritikal.

Dakwanya, sejak zaman wakil rakyat terdahulu hingga yang meletakkan jawatan baru-baru ini, isu tersebut masih gagal diselesaikan.

“Saya juga minta wakil rakyat baru nanti tengok-tengokkan penyelenggaraan pangsapuri kos rendah terutama yang tidak mempunyai pihak pengurusan atau badan pengurusan bersama (JMB),” katanya.

Pembantu kesihatan, Nasiah Abdul Latif, 36, pula mendesak wakil rakyat yang menang untuk menjaga hal rakyat dan tidak hanya berpolitik sahaja.

Katanya, wakil rakyat terdahulu langsung tidak pernah turun padang di kawasan didiaminya.

“Tidak kiralah siapa yang menang selepas ini, tolong jaga hak rakyat Kajang,” katanya.

Pesara, Shahril Abdul Karim, 66, pula mengharapkan wakil rakyat baharu supaya lebih memberi tumpuan terhadap isu rakyat di Kajang berbanding dengan perkara yang tiada kena-mengena di Dun berkenaan.

Katanya, wakil rakyat harus meneliti semula pembangunan di Kajang yang dakwanya tidak seiring dengan kemajuan kemudahan yang ada.

Katanya, banyak projek pembangunan diluluskan sedangkan kemudahan infrastruktur masih di takuk lama.

“Lihat sahaja di Taman Sikamat, banyak projek pembangunan diluluskan tetapi jalan keluar masuk hanya satu, di simpang jalan besar pula tiada lampu isyarat,” katanya.

Peniaga, Azlin Mohd Sharif, 45, pula mengharapkan wakil rakyat dipilih akan memberi peluang kepada penjaja menjalankan perniagaan tanpa bimbang menghadapi sebarang gangguan.

Azlin juga meminta wakil rakyat baharu supaya memantau pihak berkuasa tempatan (PBT) agar golongan peniaga tidak dianaktirikan apatah lagi jika mempunyai lesen perniagaan yang sah. - Selangorpress.com


0 comments :

© 2011-2014 PILIHANRAYA KINI . Designed by Bloggertheme9. Powered by Blogger.