Friday, March 21, 2014

#PRKKajang: Menteri-menteri kabinet bidas Anwar

pilihanraya kini     2:30 PM    


Kerajaan tidak pernah mengada-adakan cerita mahupun spekulasi kononnya juruterbang pesawat MH370 mungkin terlibat dalam misteri kehilangan pesawat Malaysia Airlines itu, tegas Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

"Sebenarnya tidak ada siapa pun yang membuat tuduhan terhadap kapten Zaharie Ahmad Shah ini, kita tidak tuduh, pihak kerajaan pun tidak tuduh cuma kita lakukan siasatan dengan lebih teliti terhadap seluruh anak kapal termasuk penumpang itu sahaja," katanya ketika ditemui Antarapos baru-baru ini.

Sebaliknya, dakwaan yang menyatakan bahawa Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempunyai kaitan dengan juruterbang terbabit juga bukan datang dari pihak kerajaan namun ia hanyalah andaian orang ramai semata-mata, kata Ismail Sabri.

"Kita tidak mengada-adakan cerita, memang Anwar ada kaitan (kenal) dengan juruterbang tersebut dan yang mengatakan Anwar mempunyai kaitan dengan juruterbang ini bukan sumber rasmi kerajaan. Kerajaan tidak pernah membuat pengumuman rasmi pun berhubung perkara itu. Ini adalah andaian yang dibuat oleh orang ramai itu saja," katanya.

Semalam, Anwar dalam satu wawancara CNN menuduh kerajaan cuba mengaitkan beliau dengan kapten tersebut bertujuan untuk mengalihkan kelemahan kerajaan menangani itu tersebut.

Anwar sebelum ini dilihat cuba menyalahkan Kerajaan Persekutuan terhadap spekulasi kononnya juruterbang MH370, mungkin terlibat dalam misteri kehilangan pesawat itu.

Dipetik dari agensi berita, AFP Anwar berkata, beliau muak dan yakin spekulasi itu di ada-adakan untuk mengalih kelemahan kerajaan Persekutuan dalam menangani isu itu.

Walaubagaimanapun tidak pula beliau membidas akhbar Britain, Daily Mail yang bertanggungjawab mencetuskan spekulasi itu.

Justeru, Ismail Sabri berkata:

"Kalau nak kata sehingga hari ini pesawat MH370 tak dijumpai kerana kerajaan lemah ini adalah salah. Jika nak dibandingkan dengan negara-negara maju seperti Amerika, China malah negara-negara maju lain yang terlibat sama dalam pencarian ini mereka juga masih belum menjumpainya walaupun mempunyai kelengkapan yang jauh lebih baik daripada kita dan ini menunjukkan bahawa kita sama sajalah dengan negara lain.

"Maknanya bukan sesuatu yang mudah untuk diselesaikan tapi yang pentingnya kita mengambil segala tindakan termampu oleh kita untuk menyelesaikan isu ini," ujarnya lagi. 

Malah, Ismail berkata, kerajaan sudah sehabis mampu melakukan segala yang terbaik untuk MH370.

"Untuk mengatakan kelemahan kerajaan dan sebagainya saya percaya kerajaan telah melakukan yang terbaik untuk menangani isu ini," tegasnya.

Sementara itu, menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata semua pihak tidak sepatutnya menyalahkan kerajaan dalam insiden MH370 ini.

"Saya ingin semua pihak melihat bahawa usaha untuk mencari dan menyelamat ini berterusan jadi dalam proses tersebut kita tak patut menyalahkan kerajaan ataupun agensi yang terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat dan kalau sekiranya mereka menganggap bahawa negara lain lebih bagus mereka dah jumpa. Mereka pun tak jumpa kenapa nak tuduh kita begitu dan begini," katanya. 

"Dalam keadaan sekarang saya rasa tak wajar untuk kita komen. Kadang-kadang kita ini kalau untung kita (perkara yang memberi keuntungan kepada sesuatu pihak), kita tak cakap apapun tapi bila tak menguntungkan kita semua orang salah," tegasnya lagi. 

Dalam pada itu menurut Timbalan Menteri Pendidikan II, P. Kamalanathan yang ditemui Antarapos menyifatkan tindakan Anwar itu tidak lebih sekadar mahu menutup mulut orang ramai.

Katanya, ini kerana spekulasi kononnya juruterbang MH370, mungkin terlibat dalam misteri kehilangan pesawat itu sudah jelas terbukti bukan kenyataan rasmi kerajaan Malaysia tetapi andaian dan analisa media asing semata-mata.

"Saya rasa pendapat YB Permatang Pauh (Anwar Ibrahim) ini hanya sekadar hanya untuk menutup mulut orang, walhal isu pembabitan ataupun artikel yang keluar dalam surat khabar antarabangsa itu bukan pendapat kita (BN) sebaliknya ia adalah pendapat atau analisa media asing dan kita tiada hak untuk menghentikan apa yang mereka tulis, kita tidak tahu sama sekali laporan itu telah dikeluarkan oleh media antarabangsa," jelasnya.

Malah, beliau berkata kerajaan tidak ada masa untuk mengada-adakan cerita tersebut sebaliknya kini fokus mereka hanyalah kepada usaha mencari dan menyelamat MH370.

"Dan kerajaan buat masa ini tak ada masa untuk melihat semua ini kerana kita fokus untuk memastikan kita dapat cari sampai dapat MH370, Oleh kerana itu isu-isu yang dikeluarkan oleh akhbar-akhbar ini kita tidak ada kena-mengena langsung," katanya.

Selain itu, Kamalanathan juga turut mempersoalkan adakah tindakan media-media asing mengutuk kerajaan pimpinan Barisan Nasional (BN) adalah kerja Anwar dan begitu juga sebaliknya.

"Malah ada akhbar-akhbar yang mengutuk kerajaan, bolehkah kita umpamakan bila akhbar-akhbar ini mengutuk kerajaan itu kerja Permatang Pauh? Tetapi apabila beliau dikutuk pula ia diumpamakan seperti kerajaan BN yang mengutuk dia (Anwar)," soalnya.

"Beliau harus sedar perkara ini satu perkara yang serius, media asing yang menyatakan begitu," katanya lagi. 

Mengulas lanjut dakwaan Ketua Umum PKR itu ada kaitan dengan juruterbang MH370, Kapten Zaharie, Kamalanathan berkata jelas Anwar berbohong.

"Yang jelas hari ini Anwar berbohong apabila dikaitkan antara juruterbang tersebut dengan Anwar Ibrahim, kita tidak kata apa-apa pun cuma kita kata Anwar mengenali juruterbang tersebut tapi Anwar kata dia tidak kenal," jelasnya.

"Tetapi apabila kita buktikan tunjukkan gambar yang salah seorang daripada menantunya mempunyai kaitan dengan juruterbang tersebut iaitu pak ciknya. Pada hari ini Anwar kata oh ya dia kenal.

"Dia (Anwar) tak perlu takut kalau dia kata dia kenal. Sepatutnya dia kata dia kenal juruterbang itu apa salahnya dan tidak ada siapa yang menuduh serta mengaitkan juruterbang ini dengan kehilangan pesawat MAS ini," tambahnya.

Sehubungan itu, Kamalanathan menasihatkan Anwar untuk mengambil tindakan saman terhadap mana-mana pihak yang mendakwa beliau terlibat dalam insiden MH370 itu.

"Nasihat saya kepada YB Permatang Pauh walaupun saya tidak berpengalaman seperti beliau ialah saman. Dia (Anwar) ini pakar saman, kalau media tempatan tulis awak ulang saya saman...samanlah. Bagi saya yang paling senang saya cadangkan kepada beliau untuk saman akhbar yang menyatakan beliau adalah terlibat atau penyokong beliau terlibat, saman sahaja...mudah," ujarnya.

Hari ini adalah hari ke 13 MH370 dilaporkan hilang dan setakat ini sebanyak 14 negara, 43 kapal dan 58 pesawat terlibat dalam usaha mencari dan menyelamat.

MH370 dilaporkan terputus hubungan dengan Pusat Kawalan Udara Subang, jam 2.40 pagi pada 8 Mac lalu.

Sejumlah 239 penumpang dari pelbagai negara termasuk anak kapal berada di dalam penerbangan tersebut. - Antarapos


0 comments :

© 2011-2014 PILIHANRAYA KINI . Designed by Bloggertheme9. Powered by Blogger.