Friday, March 21, 2014

#PRKKajang: Pendirian Anwar dan Pas tidak selari

pilihanraya kini     8:30 AM    


Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjauhkan diri dengan pendirian PAS apabila terus mengutuk kerajaan Malaysia sebagai tidak cekap dalam menangani misteri kehilangan pesawat MH370.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebelum ini menyifatkan insiden kehilangan pesawat itu berjaya menyatukan seluruh umat manusia tanpa mengira agama, bangsa dan negara.

Sementara Timbalan Mursyidul Amnya, Datuk Dr. Haron Din pula mengakui kerajaan Malaysia sudah melakukan segalanya untuk menjejaki pesawat itu.

“Masalahnya kewibawaan kepimpinan. Mereka bersalah kerana terdapat tanggapan umum mereka tidak membukanya, ini sistem kerja yang tidak telus,” kata Anwar ketika di wawancara agensi berita antarabangsa, CNN, pagi tadi.

Anwar dalam pada itu turut mempersoalkan keupayaan sistem radar yang dimiliki negara ini.

Ujarnya, radar itu sepatutnya dapat mengesan pesawat jenis Boeing 777-200ER yang dilaporkan hilang 8 Mac lalu.

"Malaysia telah membeli sistem radar daripada Marconi untuk kawasan Utara Malaysia.

“Ia mempunyai keupayaan untuk mengesan sebarang pasawat dari Barat – atau Timur ke Pantai Barat, dari Laut China Selatan ke Lautan Hindi.

“Saya dapati amat mengejutkan apabila mereka tidak mampu (memberi jawapan), atau mereka berikan hanya sedikit maklumat," ujar Anwar.

Selain CNN, Anwar juga dilaporkan mengkritik kerajaan Malaysia ketika ditemubual agensi berita AFP.

Bekas timbalan perdana menteri itu menuduh kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sengaja memainkan spekulasi kemungkinan penglibatan juruterbang, Kapten Zaharie Ahmad Shah dalam insiden kehilangan pesawat itu.

Walhal spekulasi itu dicetuskan akhbar Britain, Daily Mail, 16 Mac lalu.

Anwar sebaliknya mencanang dirinya lebih layak mengendalikan isu itu berbanding Najib.

"Esok (Rabu) pukul tiga ada lagi media nak wawancara saya..sebab mereka kata kalau wawancara saya, saya boleh jawab. Kalau wawancara Najib, Najib beri kenyataan saja. Jadi lebih baik saya ganti dia.

"Sekarang ini terbalik. Daripada nak padamkan Anwar, sekarang semua media antarabangsa mula wawancara saya semula," katanya dalam satu ceramah di Sungai Sekamat, Kajang pada malam Isnin. 

Sehingga kini usaha mencari dan menyelamat 239 penumpang dan anak kapal MH370 sedang giat dijalankan.

Dalam pada itu, Perdana Menteri Australia, Tony Abbott mengumumkan penemuan dua objek yang dipercayai ada kaitan dengan pesawat MH370.

Abbott memberitahu objek tersebut dikesan menerusi satelit.

Pesawat Orion Tentera Udara di-Raja sudah dikerah ke kawasan itu dan tiga pesawat lagi akan dihantar.

Beliau bagaimanapun mengingatkan agar semua pihak tidak menaruh harapan terlalu tinggi bersabit penemuan itu, selagi ia tidak disahkan. - Antarapos


1 comments :

Anonymous said...

Nuar,Nuar terhibur juga jenaka yang di berikan-4 bintang!!!

© 2011-2014 PILIHANRAYA KINI . Designed by Bloggertheme9. Powered by Blogger.