Monday, March 17, 2014

#PRKKajang: Penduduk Kajang gelar bekas ADUN 'YB Banner'

pilihanraya kini     1:40 PM    


Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kajang, Lee Chin Cheh, digelar sebagai wakil rakyat yang hanya wujud di kain-kain rentang setiap kali ada sambutan atau keraian, dakwa penduduk sekitar Sungai Kantan dan Jenaris, hari ini.

Menurut seorang penduduk Taman Sri Jenaris, Kamarul Ariffin Mohd Khalid, 34, bekas ADUN itu mendapat gelaran sedemikian selepas dilihat hanya mewakilkan diri menerusi kain rentang yang dibuat sekitar musim perayaan khususnya.

"Setahu saya, bekas ADUN Kajang yang sebelum ini cuma aktif pada musim-musim perayaan.

"Sebagai contoh, dia menempah kain rentang berbunyi 'Selamat Hari Raya' dan menggunakannya sebagai salah satu medium yang mewakili dirinya kepada para penduduk setempat," katanya.

Panggilan 'YB Banner' yang digunapakai oleh penduduk setempat menggambarkan sikap acuh tidak acuh bekas wakil rakyat itu dalam melaksanakan mandat yang dikurniakan kepadanya dalam Pilihan Raya Umum ke 13 yang lalu.


Menurut seorang pekerja swasta, Mohd Nor Adhafiz Adnan, 31, beliau mengiyakan gelaran yang diberikan penduduk terhadap Chin Cheh apabila disoal oleh wartawan Rakyat News dan mendakwa bekas ADUN itu hanya muncul pada hari mengundi dan semasa tempoh berkempen PRU 13 yang lalu.

"Beliau hanya turun padang sekitar waktu mengundi sahaja, lepas daripada itu memang penduduk tidak pernah berjumpa mahupun beliau datang bertemu penduduk sekitar.

"Gelaran yang diberikan itu memang biasa dan kena dengan sikapnya, lepas tamat musim perayaan, benda kembali seperti biasa semula," kata penduduk yang tinggal di Taman Sri Jenaris itu. - Rakyatnews.my


0 comments :

© 2011-2014 PILIHANRAYA KINI . Designed by Bloggertheme9. Powered by Blogger.