Friday, March 28, 2014

Saya akan pertimbang mahu jadi MB atau tidak - Wan Azizah

pilihanraya kini     10:30 PM    


Presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah tidak menolak mengenai peluang menjadi Menteri Besar Selangor, walau bagaimanapun mahu berkhidmat kepada rakyat Kajang terlebih dahulu.

"Saya telah berkata beberapa kali bahawa saya lebih suka untuk berkhidmat (kepada rakyat Kajang). Saya tidak berfikir sangat tentang kedudukan itu.

"Pagi ini saya datang sebagai Adun Kajang dan apa sahaja yang telah diperkatakan tentang jawatan MB itu pada masa ini....saya tidak mahu membuat spekulasi," katanya seperti dilaporkan Mstar hari ini.

Wan Azizah memenangi pilihan raya kecil Kajang pada hari Ahad, meraih 16,741 undi berbanding 11,362 undi untuk calon Barisan Nasional, Datin Paduka Chew Mei Fun.

Apabila ditanya sama ada beliau akan menimbang jawatan itu jika Pakatan Rakyat menamakan beliau, Wan Azizah berkata beliau akan berfikir mengenai perkara itu.

Beliau turut ditanya sama ada akan bertanding jawatan presiden PKR pada pemilihan parti akan datang.

Wan Azizah berkata, pada masa sekarang beliau akan menumpukan perhatian kepada kawasannya.

Bagaimanapun, beliau berkata akan bertanding jawatan itu jika Pendaftar Pertubuhan (ROS) tidak membenarkan suaminya Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding jawatan itu.

Mahkamah Rayuan baru-baru ini mendapati Anwar bersalah dalam kes liwat dan dijatuhi hukuman penjara lima tahun.

Katanya, beliau juga akan meminta nasihat PKR mengenai isu jawatan presiden.

Beliau berkata antara isu-isu di Kajang yang akan diberi perhatian berhubung belia, jenayah dan pengangkutan.


0 comments :

© 2011-2014 PILIHANRAYA KINI . Designed by Bloggertheme9. Powered by Blogger.