Monday, April 7, 2014

217 Ahli Pas Kawasan Ampang Keluar Parti

SHAH ALAM REBELS     12:00 PM    


Seramai 217 masyarakat India yang merupakan ahli Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP) kawasan Ampang hari ini mengumumkan keluar parti setelah hilang kepercayaan terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lembah Jaya dari Pas, Khasim Abdul Aziz.

Serentak dengan itu, sebanyak tiga cawangan DHPP di kawasan Ampang iaitu Tasik Permai, Tasik Campuran dan Taman Kosas dibubarkan kerana kecewa janji yang dibuat oleh wakil rakyat Pas tersebut dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) tidak ditunaikan.

Bekas Ketua DHPP cawangan Tasik Permai, J. Kalaimani berkata, pihaknya berasa pengorbanan selama enam tahun bersama DHPP adalah sia-sia kerana wakil rakyat parti itu tidak pernah membantu untuk menyelesaikan masalah penduduk.

"Apa yang kami rasa tidak berpuas hati adalah YB (Yang Berhormat) ADUN Lembah Jaya tidak tumpukan perhatian isu-isu penting yang dibangkitkan oleh kami dari dahulu sampai sekarang, walaupun sudah ada dua pertemuan dan satu memorandum diserahkan, ADUN Lembah Jaya masih tidak memperdulikannya," katanya dalam sidang akhbar selepas pertemuan dengan para penyokongnya di Kampung Tasik Permai, Ampang di sini hari ini.

Yang turut hadir bekas Ketua Cawangan DHPP cawangan Tasik Campuran, R. Ravindranathan, bekas Ketua DHPP cawangan Taman Kosas, V. Ravi Kumar serta ahli-ahli jawatankuasa DHPP cawangan yang bersama-sama meletakkan jawatan.

Menurut Kalaimani, antara masalah penduduk yang tidak diselesaikan adalah isu hak milik tanah penduduk India di kawasan Ampang, masalah kebersihan kawasan, masalah kebanjiran warga asing, ketiadaan gelanggang futsal serta ketiadaan pekerja khas di Pejabat DUN Lembah Jaya untuk menjaga masyarakat India.

"DHPP dipergunakan untuk sokongan politik sahaja, lagipun ia bukan badan yang berdaftar di bawah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (Ros) dan tetap di bawah bidang kuasa Pas," katanya.

Katanya, kata putus untuk keluar parti dibuat setelah wakil rakyat Pas itu tetap enggan memperdulikan memorandum yang dihantar walaupun tempoh 14 hari telah diberikan.

"Perjuangan melalui DHPP adalah tidak berkesan kerana terikat kepada bidang kuasa Pas, kami selepas ini memilih untuk menjadi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) supaya masalah rakyat dapat diselesaikan," katanya.


0 comments :

© 2011-2014 PILIHANRAYA KINI . Designed by Bloggertheme9. Powered by Blogger.