Thursday, April 3, 2014

Air Asia mahu Najib campur tangan

pilihanraya kini     8:34 AM    


Syarikat penerbangan tambang rendah, AirAsia pada Rabu meminta supaya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak campur tangan dalam menyelesaikan isu Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) yang dijadualkan akan mula beroperasi pada 2 Mei ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Aireen Omar berkata, pihaknya lebih daripada bersedia untuk berpindah ke KLIA2 tetapi perpindahan itu hanya akan dilakukan selepas semua perkara dapat diatasi.

Ini kerana katanya, AirAsia akan menjadi penyewa utama di lapangan terbang yang baharu, menyumbang lebih 80% daripada trafik KLIA2.

"Oleh itu, adalah penting untuk KLIA2 berfungsi sepenuhnya dan operasinya seharusnya berdaya maju dalam jangka panjang.

"Sehubungan itu, saya meminta supaya (perkara ini) adanya penglibatan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kerana campur tangan beliau adalah penting dalam menyelesaikan isu nasional ini. 

"KLIA2 mempunyai potensi untuk menjadi pusat penerbangan global, seperti Dubai. AirAsia, sebagai syarikat penerbangan tambang rendah terbesar di rantau ini boleh dan akan menyumbang dalam menjadikannya kenyataan, dan terus mempertingkatkan industri penerbangan negara secara keseluruhan," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan media pada Rabu bahawa AirAsia akan terus kekal di Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) walaupun selepas 9 Mei, di mana terminal itu akan ditutup bagi memudahkan pembukaan KLIA2.

Aireen berkata, pihaknya mencuba pada tahap yang terbaik untuk menyelesaikan semua isu yang belum selesai dan menekankan Malaysia Airports Holding Berhad (MAHB) sebagaimana yang dilakukan sejak tiga tahun lalu supaya syarikat penerbangan itu boleh terus berpindah ke lapangan terbang baharu dengan sewajarnya. 

"Ia (laporan media) mungkin menganggap bahawa AirAsia sengaja tidak berpindah ke KLIA2 atau dengan niat untuk menyukarkan keadaan.

"(Namun) ia bukanlah niat kami (sebaliknya) terdapat banyak kebimbangan, terutama pada fungsi dan keselamatan KLIA2 yang mana keutamaan adalah kakitangan syarikat untuk bekerja dengan cekap, dan memastikan penumpang menikmati pengalaman perjalanan yang lancar," katanya.

Menurut Aireen, sebagai pemain hab serantau, AirAsia banyak menyumbang kepada ekonomi negara dengan lalu lintas yang dibawa masuk ke Kuala Lumpur menerusi rangkaian meluas syarikat penerbangan itu.

"Tahun ini, kami menyasarkan untuk membawa sekurang-kurangnya 24 juta penumpang melalui Kuala Lumpur, dan dengan saiz ini yang akan beroperasi, kita perlu memastikan lapangan terbang dapat berfungsi sepenuhnya tanpa sebarang kemungkinan gangguan yang berlaku.

"Sebagai penyumbang utama kepada ekonomi Malaysia, AirAsia perlu diberikan suara kerana kami merupakan pengguna utama KLIA2. AirAsia berharap agar isu ini dapat diselesaikan secepat mungkin," katanya.

1 comments :

aku melayu rasis said...

baguslah. Acting menteri pengangkutan sibuk dgn pertemuan bersama proksi AS, masalah dalam Negara biar najib yang selesai...baguss..baguss

© 2011-2014 PILIHANRAYA KINI . Designed by Bloggertheme9. Powered by Blogger.