Monday, April 21, 2014

Hishamuddin Minta Polis Siasat Kemungkinan Sabotaj Terhadap MAS

SHAH ALAM REBELS     11:00 AM    


Pemangku Menteri Pengangkutan yang Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, sudah pun meminta pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) khususnya Cawangan Khas (SB) Bukit Aman, untuk menyiasat sebarang kemungkinan berlakunya sabotaj terhadap Malaysia Airlines (MAS). 

Katanya, beliau melihat perkara itu dari pelbagai sudut termasuk segala kemungkinan yang timbul mengenai segala kejadian yang menimpa MAS sejak kebelakangan ini. 

“Bagaimana pun, apa saja maklumat yang diperoleh perlu dipastikan kesahihannya dan mesti disiasat secara terperinci sebelum kita boleh merumuskan apakah yang sebenarnya punca kepada semua kejadian ini. 

“Saya percaya segala yang berlaku akan mengubah landskap dunia penerbangan secara global dan bukan hanya di peringkat tempatan saja,” katanya dalam sidang media di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pagi tadi. 

Beliau mengulas mengenai kemungkinan wujudnya unsur sabotaj atau sebarang elemen lain yang menyebabkan berlakunya beberapa insiden membabitkan MAS sejak kebelakangan ini. 

Terdahulu, Hishammuddin mengadakan pertemuan dengan semua penumpang pesawat MH192 di KLIA, selepas pesawat itu yang dalam penerbangan dari KLIA ke Bangalore pada jam 10.09 malam tadi, terpaksa berpatah balik kerana satu tayar pada gear pendaratan meletup semasa berlepas. 

Pesawat berkenaan selamat mendarat di KLIA pada jam 1.56 pagi tadi. 

Pesawat jenis Boeing 737-800 yang membawa 166 penumpang, termasuk tujuh anak kapal sepatutnya mendarat di Bangalore pada 11.35 malam. - BH


0 comments :

© 2011-2014 PILIHANRAYA KINI . Designed by Bloggertheme9. Powered by Blogger.