Monday, April 7, 2014

Mangsa Culik Di Sabah Selamat

SHAH ALAM REBELS     1:00 PM    


Kumpulan penculik yang melarikan dua warga asing di Singamata Resort, Semporna baru-baru ini, telah menghubungi keluarga salah seorang mangsa, Goa Hua Yuan, 29, yang merupakan pelancong dari China, pada Jumaat lalu.

Ketua Pengarah Kawasan Khas Keselamatan Pantai Timur Sabah (Esscom), Datuk Mohammad Mentek berkata, kumpulan penculik terbabit bagaimanapun tidak menyatakan jumlah wang tebusan yang perlu dibayar untuk pembebasan mangsa.

"Kita mendapat maklumat bahawa kumpulan penculik telah menghubungi keluarga Hua Yuan serta memberitahu mangsa berada dalam keadaan selamat dan sihat.

"Bagaimanapun kumpulan penculik itu tidak menyatakan jumlah wang tebusan yang perlu dibayar bagi membebaskan mangsa," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Dalam kejadian pada pukul 10.30 malam Rabu lalu, Hua Yuan yang merupakan seorang pelajar dari Shanghai, China dan seorang pekerja resort berkenaan diculik sekumpulan lelaki berpakaian hitam, bertopeng serta bersenjata.

Dalam pada itu, Mohammad memberitahu, beliau telah mengadakan mesyuarat bersama beberapa pegawai kanan Esscom semalam dan memutuskan untuk menambah 30 peratus kekuatan aset bagi tujuan rondaan di kawasan perairan Semporna yang sering menjadi sasaran penculik.

Katanya, penambahan kekuatan aset seperti bot dan kapal peronda itu diambil daripada beberapa kawasan lain di Esscom tanpa mengabaikan keselamatan di kawasan lain termasuk di Zon Selamat Pantai Timur Sabah (Esszone).

Menurutnya, pihaknya telah mengetahui lokasi persembunyian dan identiti penculik namun tidak boleh didedahkan kepada umum kerana dikhuatiri membahayakan keselamatan mangsa.

"Kita juga tidak boleh melaksanakan sebarang tangkapan kerana ia terletak di selatan Filipina tetapi telah bekerjasama dengan pasukan keselamatan negara itu untuk menjejak suspek," katanya.


0 comments :

© 2011-2014 PILIHANRAYA KINI . Designed by Bloggertheme9. Powered by Blogger.