Wednesday, April 16, 2014

Pengalaman Paling Ngeri Saya Pernah Lalui

SHAH ALAM REBELS     8:15 PM    


Sepanjang bekerja sebagai pemandu bas sejak 10 tahun lepas, insiden keganasan penyokong bola sepak Liga Super di Ipoh, Perak, malam tadi merupakan pengalaman yang paling mengerikan pernah dihadapinya.

Ahmad Rashidi Yaacob, pemandu bas yang membawa penyokong pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT), berkata beliau hanya menyerahkan nasibnya kepada ALLAH SWT apabila basnya dihujani dengan batu yang dilontar penyokong pasukan Perak.

"Ia amat mengerikan, serangan datang bertubi-tubi seperti hujan batu. Saya hanya mampu berserah kepada ALLAH SWT dan mengagahkan diri untuk terus memandu bas," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Stadium Larkin hari ini.

Berikutan insiden membaling batu sejurus berakhirnya perlawanan Liga Super di antara JDT dan Perak semalam itu, bas membawa penyokong JDT itu mengalami kerosakan dengan beberapa bahagian cerminnya pecah.

Pada perlawanan tersebut, JDT menang 1-0 dengan gol tunggal dijaringkan oleh Nazrin Nawi pada minit ke-16.

Ahmad Rashidi berkata, ketika bermulanya kejadian serangan itu beliau tidak memikiran perkara lain kecuali meneruskan perjalanan di dalam usaha memastikan keselamatan 33 penumpangnya.

Bas terbabit diiringi oleh polis peronda keluar daripada Stadium Perak.

Sementara itu, Setiausaha Kelab Penyokong Bolasepak JDT, Azman A. Jalil, 52, berkata, beliau kesal dengan insiden tersebut yang disifatkan sebagai satu provokasi melampau dan tidak sepatutnya berlaku.

Beliau bagaimanapun memuji penyokong JDT yang tidak melayan provokasi penyokong Perak kerana mereka sudah bersedia dan menjangkakan perkara seumpama itu bakal terjadi.

Di KUALA LUMPUR, Pemangku Ketua Jurulatih skuad Harimau Malaya, Datuk Ong Kim Swee menyifatkan kejadian itu bukan sahaja mencemarkan budaya bermasyarakat malah mencorakkan budaya negatif dalam kalangan kanak-kanak yang berada dalam stadium.

Beliau berkata, sikap tidak bertamadun dan provokasi oleh segelintir penyokong itu sehingga mencetuskan tindakan liar boleh menghalang ibu bapa daripada membawa anak-anak mereka menyaksikan perlawanan.

"Saya kecewa dengan sesetengah penyokong ini dan ia tidak langsung memberi kebaikan kepada sukan bola sepak tanah air," katanya ketika diminta mengulas mengenai insiden kekecohan yang dicetuskan oleh penyokong pasukan Liga Super dan Liga Perdana. - Bernama


0 comments :

© 2011-2014 PILIHANRAYA KINI . Designed by Bloggertheme9. Powered by Blogger.