Thursday, April 3, 2014

STING digeruni kartel dadah

pilihanraya kini     11:30 AM    

SEJAK penubuhannya pada 1 Oktober tahun lalu, Pasukan Khas Taktikal dan Risikan Narkotik (STING) Bukit Aman telah berjaya melumpuhkan beberapa sindiket tempatan serta rangkaian pengedaran dadah antarabangsa yang aktif di negara ini.

Berdasarkan statistik yang dikeluarkan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, STING telah berjaya merampas 2,422 kilogram (kg) dadah pelbagai jenis bernilai RM118.27 juta dalam tempoh lima bulan penubuhannya.

Pencapaian itu adalah hasil beberapa serbuan di termasuk lima yang telah dilakukan di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur serta empat kawasan di Selangor iaitu Kepong, Batu Caves, Cyberjaya dan Ampang yang dijalankan pada 6 Februari dan 8 Februari lalu.

Dalam kesemua serbuan yang dibuat, seramai 11 individu termasuk dua wanita berjaya ditahan dan tujuh daripadanya merupakan warga Iran. Salah seorang daripada warga Iran itu dipercayai taikun dadah yang menjadikan negara ini sebagai tempat operasi sindiketnya.

Hasil rampasan dalam operasi tersebut adalah 11.7 kilogram (kg) serbuk syabu; 11.6 kg cecair syabu, 1,100 biji pil ekstasi dan lebih 11 kg serbuk dadah jenis ephedrine serta beberapa jenis bahan kimia dan peralatan untuk memproses dadah.

Pada masa sama, pasukan STING turut merampas wang berjumlah RM213,308 serta tiga kenderaan jenis Toyota Vios, Honda City dan Honda Jazz milik kesemua suspek yang berusia antara 22 tahun hingga 42 tahun.

Satu lagi kejayaan STING ialah melumpuhkan sindiket pengedaran dadah dan membongkar sebuah makmal memproses bahan terlarang itu di Greenland, Pulau Pinang pada 17 Februari lalu.

Dalam serbuan dengan kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Pulau Pinang itu, empat anggota sindiket pengedaran dadah termasuk dua wanita yang salah seorangnya merupakan warga China di tahan. Kesemua suspek yang berusia antara 28 tahun hingga 42 tahun ditahan di sekitar negeri itu.

Pelbagai jenis dadah, kenderaan berkuasa tinggi, wang tunai dan barangan lain bernilai hampir RM4.5 juta turut dirampas.

Kejayaan tersebut boleh diibaratkan sebagai pencapaian indeks penilaian prestasi yang cemerlang bagi sayap baru Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu selaras dengan matlamat penubuhannya menumpaskan semua aktiviti pengedaran dan penyalahgunaan dadah di negara ini.

Pencapaian besar itu juga merupakan amaran kepada pengedar dadah di negara ini untuk berhenti menjalankan aktiviti jenayah itu atau berdepan dengan pihak berkuasa.

Dengan peruntukan lebih RM10 juta yang disediakan untuk merealisasikan penubuhan STING, pasukan yang lengkap dengan kekuatan taktikal, teknikal dan fokus menjalankan kerja pasti mampu membersihkan negara ini daripada dadah menjelang tahun 2015 seperti yang disasarkan di kalangan negara-negara ASEAN.


STING yang menjadikan Bukit Aman sebagai pusat operasi utama dianggotai seramai 200 orang terdiri daripada 61 pegawai kanan, 138 anggota berpangkat rendah dan seorang penjawat awam.

Kesemua ahli pasukan terdiri daripada individu terpilih dalam PDRM yang telah terbukti mampu menjalankan tugas secara komited, mempunyai integriti, amanah dan sanggup mengorbankan kepentingan peribadi demi mencapai kejayaan dalam setiap misi.

Selain menjalani latihan dalam negara, STING turut dihantar ke luar negara untuk meningkatkan kepakaran mereka antaranya di Indonesia, Brunei, Thailand, China, Hong Kong, Taiwan, Iran dan Nigeria.

Bagi melengkapkan kekuatan pasukan itu, PDRM memohon peruntukan lebih RM10 juta daripada kerajaan untuk menyediakan kelengkapan baharu.

Dianggarkan setiap anggota STING akan memakai kelengkapan termasuk pakaian seragam dan senjata canggih bernilai RM20,000 setiap kali menjalankan operasi.

Daripada peruntukan tersebut, RM5 juta dibelanjakan untuk membeli kenderaan-kenderaan berkuasa tinggi seperti kereta BMW, Porsche dan pacuan empat roda berkuasa tinggi bagi menyaingi keupayaan yang dimiliki setiap sindiket.

Selain itu, RM4 juta lagi akan digunakan untuk menaik taraf kelengkapan dalam Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik termasuk membeli aset-aset canggih setaraf dengan apa yang dimiliki oleh pihak berkuasa di negara maju seperti Amerika Syarikat dan Perancis manakala RM1 juta lagi digunakan untuk membeli peralatan komunikasi yang lebih baik.

Sehubungan itu, mesej yang jelas kepada golongan pengedar dadah di luar sana, di mana pun anda berada, STING pasti akan dapat menumpaskan anda, undang-undang Malaysia tidak membenarkan bahan terlarang itu diniagakan walau apa cara sekalipun.



0 comments :

© 2011-2014 PILIHANRAYA KINI . Designed by Bloggertheme9. Powered by Blogger.