Sunday, May 25, 2014

Bekas Penuntut UiTM Kritik Kenyataan Calon DAP #PRKTelukIntan

pilihanraya kini     6:37 PM    


PELABUHAN KLANG, 25 Mei (Bernama) -- Kenyataan calon DAP bagi pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Teluk Intan di Perak Dyana Sofya Mohd Daud yang mempertikai peranan Universiti Teknologi Mara (UiTM) turut dikritik pelbagai pihak terutama bekas penuntut universiti itu.

Presiden Persatuan Belia Bersatu Klang, Muhammad Akmal Ridzuan Abd Rahim berkata sebagai bekas penuntut jurusan undang-undang UiTM, calon DAP itu sepatutnya sedar bahawa penubuhan UiTM yang dibuka kepada Bumiputera termaktub dalam Artikel 153, Perlembagaan Persekutuan.

"Dia (Dyana Sofya) tidak patut libatkan UiTM dalam politik untuk mendapatkan undi bukan Melayu dan saya tidak nampak sebarang keperluan untuk UiTM dibuka kepada kaum lain berikutan terdapat 20 institusi pengajian tinggi awam (IPTA) lain yang dibuka kepada kaum lain.

"Kenapa gunakan UiTM dalam kempen politiknya?...Tindakan beliau Mempolitikkan UiTM membuatkan kami sebagai bekas penuntut sangat terasa hati," kata bekas penuntut jurusan Diploma Pengurusan Perniagaan, UiTM Segamat, Johor.

Bekas Presiden Persatuan Diploma Perbankan, UiTM Segamat, Mohammad Shazrul Zulkifle berkata UiTM ditubuhkan bagi membantu mengubah hala tuju orang Melayu bagi bersaing dalam industri kewangan dan perniagaan yang dimonopoli oleh kaum bukan Melayu.

"Jika nak menjadi anggota Parlimen, Dyana Sofya sepatutnya membuat kajian tentang isu lebih relevan seperti ekonomi bukan menyentuh peranan UiTM," katanya.

Bekas penuntut Diploma Perbankan, UiTM Melaka, Zaitul Hazrul Zulkifli berkata Dyana Sofya telah melakukan tiga kesilapan iaitu berkenaan agama apabila membantah pelaksanaan hukum hudud, berkenaan bangsa apabila memilih untuk menyertai DAP dan berkenaan pendidikan apabila mempertikaikan peranan UiTM.

Bagi bekas penuntut Uitm Kuala Pilah, Negeri Sembilan Norshahirah Shaharuddin, kenyataan calon DAP itu bahawa universiti itu hanya mengambil penuntut daripada kalangan keluarga pemimpin Umno adalah tidak berasas.

UiTM telah memberi banyak tempat kepada penuntut miskin tanpa mengira fahaman politik keluarga masing-masing dengan menetapkan yuran rendah sebagai dorongan dan semangat kepada mereka untuk melanjutkan pengajian, katanya.

"Jangan mempolitikkan isu pendidikan dan jika nak berpolitik sentuhlah mengenai isu lain. UiTM untuk Bumiputera dan banyak lagi IPTA tempatan yang mempunyai kuota untuk kaum lain," kata lulusan Diploma Sains itu.

Presiden Persatuan Kebajikan India Malaysia (PKIM) A.Prakash berkata beliau selaku anak jati Teluk Intan tidak bersetuju dengan pemilihan Dyana Sofya yang dilihat belum cukup matang untuk mewakili kawasan itu di Dewan Rakyat.

Beliau berkata wanita itu dilihat hanya menjadi 'boneka' DAP yang jelas mempergunakannya untuk mendapat simpati daripada pengundi Melayu khususnya.

"Sebagai anak Teluk Intan saya berpendapat ramai lagi pemimpin yang boleh diketengahkan sebagai calon, kerana Teluk Intan memerlukan pembangunan.

"Tindakan DAP meletakkan calon yang tidak berpengalaman ini boleh merugikan Teluk Intan kerana mereka akan cuba mempolitikkan isu perkauman," katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

PRK Parlimen Teluk Intan menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional (BN) Datuk Mah Siew Keong dan Dyana Sofya.

Pengundian awal akan diadakan 27 Mei ini, manakala pengundian ditetapkan 31 Mei.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian penyandang kerusi Parlimen itu, Seah Leong Peng, 48, daripada DAP akibat kanser pada 1 Mei lepas.

-- BERNAMA


0 comments :

© 2011-2014 PILIHANRAYA KINI . Designed by Bloggertheme9. Powered by Blogger.