Monday, May 12, 2014

#PrkBukitGelugor: Hanya Parti Bertanding Boleh Pasang Bendera

pilihanraya kini     9:58 PM    


Hanya parti yang bertanding dalam pilihan raya sahaja dibenarkan memasang bendera dan simbol dalam tempoh berkempen.

Ketika mengulangi peringatan itu, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, masih banyak parti yang tidak bertanding tetapi "tumpang semangkuk" memasang bendera masing-masing dalam setiap pilihan raya.

Beliau berkata, amalan itu adalah menyalahi peraturan yang ditetapkan dalam pilihan raya dan wajar dihentikan segera.

"SPR sudah memberi peringatan ini berulang kali termasuk ketika bertemu dengan parti politik. Tetapi masih ada yang tidak mahu mematuhinya.

"Kita membenarkan mereka membawa bendera atau simbol parti ketika mengiringi calon untuk proses penamaan calon," katanya ketika menjawab pertanyaan media selepas tamat proses penamaan calon PRK Parlimen Bukit Gelugor di Dewan Sri Pinang di sini hari ini.

Menurutnya, sebaik sahaja pegawai pengurus pilihan raya mengumumkan calon atau parti yang bertanding, parti lain yang tidak terlibat dilarang memasang apa-apa logo, simbol atau bendera parti mereka dalam kawasan pilihan raya.

Bagaimanapun, pemantauan SPR dalam kebanyakan pilihan raya mendapati banyak parti memasang bendera dan logo walaupun calon mereka tidak bertanding dalam kawasan tertentu.

"Sepatutnya setiap parti mematuhi peraturan yang ditetapkan," katanya.

Menjawab pertanyaan media kenapa SPR tidak mengambil tindakan dan keadaan itu menyebabkan parti politik masih melakukan kesalahan sama, Abdul Aziz berkata ia diserahkan kepada polis untuk proses selanjutnya.

"SPR hanya memantau. Jika ada kesalahan, kita buat laporan kepada polis," katanya.

Diminta mengulas mengenai ketiadaan BN dalam PRK Bukit Gelugor, beliau berkata dalam negara demokrasi sesiapa sahaja boleh bertanding atau tidak dalam mana-mana pilihan raya.

"Kita tidak boleh paksa sesiapa pun. Sebab itu dalam pilihan raya, ada calon dari parti tertentu dan calon bebas.

"Siapa nak bertanding, dipersilakan. Kalau tak mahu bertanding, kita tidak boleh buat apa-apa sebab ini adalah amalan demokrasi," katanya.


0 comments :

© 2011-2014 PILIHANRAYA KINI . Designed by Bloggertheme9. Powered by Blogger.