Thursday, May 29, 2014

Kempen #PRKTelukIntan Terkawal Walaupun Terdapat Insiden Kecil - Mohd Bakri

pilihanraya kini     7:04 PM    



TELUK INTAN: Perjalanan kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Teluk Intan masih terkawal, walaupun beberapa insiden kecil yang tidak diingini berlaku, kata Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Bakri Zinin. 

Katanya, sebanyak 18 laporan polis diterima setakat ini dan lima kertas siasatan dibuka berhubung PRK itu. 

Selain itu, polis sentiasa memantau aktiviti perjudian sepanjang PRK Parlimen Teluk Intan melalui penubuhan pasukan Ops Cantas Khas, katanya kepada pemberita selepas taklimat PRK Parlimen Teluk Intan di sini, hari ini. 

Beliau berkata, setakat ini tiada laporan mengenai kegiatan perjudian itu di kawasan pilihan raya kecil itu. 

"Kami sentiasa memantau setiap apa yang berlaku semasa pilihan raya berlangsung dan akan bertindak segera sekiranya mempunyai bukti," katanya. 

Katanya, polis melakukan persediaan rapi menjelang hari pengundian pada 31 Mei nanti bagi memastikan tempat pengundian dikawal dengan baik dan berjalan lancar. 
"Kita memberi jaminan penduduk di sini dapat menunaikan tanggungjawab itu dengan selamat," katanya. 
PRK Parlimen Teluk Intan Sabtu ini menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional (BN) Datuk Mah Siew Keong, 53, dan calon DAP, Dyana Sofya Mohd Daud, 27. 

PRK itu diadakan berikutan kematian penyandang kerusi Parlimen itu, Seah Leong Peng, 48, daripada DAP akibat kanser pada 1 Mei lepas. 

- BERNAMA


0 comments :

© 2011-2014 PILIHANRAYA KINI . Designed by Bloggertheme9. Powered by Blogger.