Friday, May 2, 2014

Menteri Kesal Wartawan Diserang Peserta Demo

SHAH ALAM REBELS     9:30 AM    


Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Shabery Cheek melahirkan rasa kesal berhubung insiden sekumpulan penyokong Himpunan Bantah GST yang bertindak menyerang dan melakukan kekerasan terhadap petugas media semalam.

Beliau berkata, para penyokong perhimpunan anjuran Pakatan Rakyat itu sewajarnya menghormati para petugas media yang menjalankan tugas dalam memberikan maklumat kepada masyarakat.



"Hormatilah wartawan yang menjalankan tugas.

"Susah payah mereka memberi maklumat yang betul. Tidak wajar dibalas dengan kekasaran," katanya menerusi laman twitternya.

Dalam kejadian petang semalam, sekumpulan pemuda yang dikenali sebagai Rejimen Anarki telah bertindak menyerang petugas media ketika melakukan rakaman sejurus selesai Himpunan Bantah GST.


Kumpulan yang berpakaian serba hitam dan memakai bandana bagi menutup identiti individu telah melakukan provokasi kepada media pada jam 4.10 petang di hadapan bangunan Sultan Abdul Samad dengan mengeluarkan perkataan kesat dan lucah seperti 'Fuck Media' dan mengeluarkan isyarat jari tengah.

Rejimen Anarki turut bertindak melontarkan kayu yang mempunyai permukaan tajam kepada pihak media. - Rakyatnews


0 comments :

© 2011-2014 PILIHANRAYA KINI . Designed by Bloggertheme9. Powered by Blogger.