Monday, May 5, 2014

Op Kejam Uji Kecekapan Anggota D9

SHAH ALAM REBELS     6:30 PM    


Detik 23 Oktober 2013 sudah pasti akan terpahat dalam ingatan Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya, Asisten Supritendan Rodney Pasla Haris.

Manakan tidak, pada hari itulah Rodney, 36, menerima tugas berat untuk mengendalikan kes pegawai operasi AmBank yang mati ditembak seorang pengawal keselamatan.

Malah kes itu turut mendapat perhatian seluruh negara yang menyifatkan kes berkenaan sebagai kejam oleh pembunuhnya yang ingin melarikan sejumlah wang tunai daripada bank tersebut.

Menurut Rodney, bukan sesuatu yang mudah baginya mengendalikan kes tersebut, kerana ia memerlukan kecekapan dan ketelitian.

Malah sejurus selepas kejadian itu katanya, satu pasukan khas yang dinamakan Op Kejam ditubuhkan.

“Berbekalkan intipan dan maklumat, pasukan saya berjaya menahan dua pengawal keselamatan dan seorang wanita yang dipercayai turut bersubahat dengan suspek.

“Dua pengawal keselamatan terbabit merupakan saudara suspek sementara wanita itu pula disyaki isterinya.

“Mereka yang merupakan rakyat negara jiran tetapi disyaki menggunakan kad pengenalan palsu ditahan dalam serbuan di sebuah rumah di Bukit Kemuning, Klang, pada malam hari kejadian.

“Susulan penahanan ketiga-tiga suspek, kami merampas wang tunai berjumlah RM20,000 yang dipercayai sebahagian daripada hasil rompakan daripada peti besi Ambank," ujarnya.

Menurut Rodney, meskipun beliau dan 16 anggotanya dengan dibantu pasukan daripada Ibu Pejabat Polis Bukit Aman terpaksa bersengkang mata, tetapi mereka berpuas hati kerana berjaya menyelesaikan kes itu apabila suspek utamanya dapat ditangkap selepas 19 hari.

Beliau turut berbangga apabila kejayaan pasukannya itu diiktiraf Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar yang menyampaikan ucapan tahniah melalui akaun Twitter sebaik sahaja kes tersebut selesai.

Dalam pada itu, Rodney memberitahu, pegawai dan anggotanya tidak terlepas untuk menyertai latihan asas sebagai persediaan menghadapi sebarang kemungkinan tidak diduga apabila sesuatu gerakan dilancarkan.

“Latihan yang diambil oleh seorang anggota tidak perlu memakan masa yang lama, tetapi cukup sekadar memberi persediaan buat anggota yang terlibat untuk menjadi lebih mantap dan bersedia dalam apa jua keadaan terutama bagi menghadapi musuh," jelasnya.

Berkhidmat selama 11 tahun bersama PDRM, Rodney berazam untuk mengalas tanggungjawab yang diberikan dengan penuh iltizam bagi memastikan penjenayah dibanteras dan dipatahkan. - Utusan



0 comments :

© 2011-2014 PILIHANRAYA KINI . Designed by Bloggertheme9. Powered by Blogger.