Thursday, May 15, 2014

#PemilihanPKR: Mike Lancar Perang Terhadap MB Selangor

pilihanraya kini     3:30 PM    


Calon Ketua Cabang PKR Kuala Selangor, S Manikavasagam berkata, beliau tidak gentar dengan gertakkan saman oleh Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berikutan pendedahan calon Timbalan Presiden PKR itu mengamalkan politik wang pada hari pemilihan Cabang PKR Kuala Selangor Ahad lalu.

"Saya pun tunggulah (notis tuntutan maaf dan saman), saya memang menunggu dia (peguam Khalid) hantar surat itu.

"Saya tak takut, saya tak gentar apa-apa. Saya tetap akan lawan, kalau dia hantar surat mahkamah sekali pun saya akan lawan dan saya tak mahu dia tarik diri. Dia mesti lawan dan saya akan lawan dia habis-habisan," tegaskan ketika dihubungi Antarapos.

Menurut Manikavasagam, bekas ADUN Kota Alam Shah, M. Manoharan juga telah menyatakan kesediaannya untuk mewakili beliau sekiranya Khalid tetap dengan keputusannya.

Manikavasagam berkata, beliau juga telah membuat aduan rasmi berhubung dakwaannya itu kepada Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) PKR semalam. 

"Saya dah hantar (bantahan kepada JPP), saya hantar semalam. Tindakan sehingga hari ini tidak ada apa-apa, belum dapat tindakan apa-apa lagi," katanya.

Ujar Manikavasagam lagi, semalam seorang penerima wang tersebut juga sudah membuat satu laporan polis berhubung calon Timbalan Presiden PKR itu mengamalkan politik wang pada hari pemilihan Cabang Ahad lalu di Balai Polis Jeram semalam.

Katanya, lagi dua penerima wang tersebut akan membuat laporan polis berhubung salah laku Khalid dalam masa dua hari ini.

Calon Timbalan Presiden PKR, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim semalam menerusi akaun Facebooknya memberitahu akan mengambil tindakan mahkamah terhadap Manikavasagam. 

Khalid berkata, pihaknya mengarahkan peguam menghantar notis tuntutan maaf kepada bekas ahli Parlimen Kapar itu sebelum saman fitnah difailkan.

"Saya mengarahkan peguam untuk menghantar Notis Tuntutan Saman kepada Manikavasagam kerana menuduh saya melakukan rasuah membeli pengundi," katanya dalam kenyataan melalui Facebooknya semalam.

Manikavasagam pada Ahad lalu mendakwa Khalid memberi rasuah wang kepada pengundi sebanyak RM50 seorang dan mempunyai bukti rakaman video yang akan didedahkannya dalam laman web.

"Saya menerima aduan pemilih diberi rasuah sebanyak RM30 untuk memberi undi kepada calon yang bertanding bagi jawatan kebangsaan dan RM20 bagi jawatan ketua cabang Kuala Selangor.

"Saya harap jawatankuasa pemilih akan bertindak segera tentang perkara ini," katanya.

Khalid bagaimanapun menafikan tuduhan itu, sebaliknya mengakui menaja pengangkutan bagi kemudahan pengundi ke tempat pusat mengundi.

Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) PKR semalam turut mengesahkan tidak menerima sebarang aduan rasmi berhubung dakwaan terhadap menteri besar Selangor itu.

Mengulas lanjut berhubung tindakan JPP memberikan surat amaran kepadanya berhubung kes ugutan yang diterimanya baru-baru ini, Manikavasagam berkata sehingga hari ini beliau masih belum menerima sebarang surat amaran.

Sehubungan itu, beliau sekali lagi mempersoalkan apakah rasional di sebalik keputusan jawatankuasa itu.


0 comments :

© 2011-2014 PILIHANRAYA KINI . Designed by Bloggertheme9. Powered by Blogger.