Saturday, May 24, 2014

Polis Berkas Lelaki Ugut Bunuh Ahli Parti Politik di #PRKTelukIntan

pilihanraya kini     1:24 PM    


Polis menahan seorang lelaki yang didakwa mengugut untuk membunuh seorang anggota parti politik pagi Rabu lepas.

Timbalan Ketua Polis Daerah Hilir Perak Supt Mohd Zaki Harun berkata dalam kejadian pukul 4 pagi di Taman Ratna, Jalan Changkat Jong di Teluk Intan, suspek melakukan ugutan bunuh terhadap mangsa yang ketika itu sedang melakukan kerja-kerja kempen pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Teluk Intan di sebuah bilik gerakan partinya.

Mohd Zaki berkata suspek yang berusia 50 tahun itu ditahan oleh Pasukan Cantas Khas Perak dan Pasukan Cantas Bukit Aman pada hari yang sama di Durian Tunggal, Melaka.

"Berdasarkan siasatan suspek yang memiliki lima rekod jenayah lampau dibawa ke Teluk Intan untuk direman selama dua hari bermula hari ini," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah Hilir Perak semalam,

Beliau berkata polis akan memanggil beberapa individu untuk membantu siasatan yang mungkin turut terlibat dengan kejadian tersebut.

Menurutnya, tangkapan itu merupakan yang pertama sepanjang tempoh kempen PRK Teluk Intan yang berlangsung sejak Isnin lepas.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah, katanya.

- Bernama


0 comments :

© 2011-2014 PILIHANRAYA KINI . Designed by Bloggertheme9. Powered by Blogger.