Wednesday, May 21, 2014

#PRKBUKITGELUGOR : 21 MEI, 148 ORANG UNDI AWAL DI BUKIT GELUGOR

pilihanraya kini     1:52 PM    


Koperal Samion Ahmad menunjukkan dakwat pada jarinya sebagai bukti selesai menunaikan tanggungjawab mengundi awal bagi PRK Bukit Gelugor, di Balai Polis Air Itam, Isnin:-
GEORGE TOWN: Proses pengundian awal Pilihan Raya Kecil (PRK) Bukit Gelugor melibatkan seramai 148 pengundi berdaftar di empat pusat pengundian awal pada Rabu berjalan lancar.
Pusat pengundian mula dibuka seawal pukul 8 pagi dan ditutup pada pukul 2 petang nanti.
Empat pusat pengundian awal itu ialah Tabika Kemas Markas Gerakan Marin Wilayah Satu di Batu Uban, bilik maklumat Balai Polis Air Hitam, bilik maklumat Balai Polis Bandar Baharu dan Markas Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) KD Sri Pinang di Gelugor.
Tinjauan mStar Online di Balai Polis Bandar Baru Air Itam mendapati setakat pukul 9 pagi ini, tujuh anggota polis telah membuang undi. Keseluruhannya, terdapat 41 pengundi berdaftar di balai polis berkenaan.
Polis trafik turut dilihat mengawal lalu lintas menuju ke balai polis tersebut untuk memastikan keadaan terkawal.
Beberapa petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan ejen calon turut kelihatan di perkarangan balai polis ini.
Kawasan Parlimen Bukit Gelugor mempunyai 82,431 pengundi berdaftar dan sebanyak 17 pusat daerah mengundi akan dibuka pada pilihan raya kecil itu – 139 saluran untuk undi biasa dan empat saluran untuk undi awal. Pengundian biasa akan diadakan Ahad ini.
Pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gelugor menyaksikan pertandingan empat penjuru antara calon DAP Ramkarpal Singh Deo, Naib Presiden Parti Cinta Malaysia Datuk Huan Cheng Guan dan dua calon Bebas Mohamed Nabi Bux Mohd Nabi Abdul Sathar serta Abu Backer Sidek Mohamad Zan.
Kerusi Bukit Gelugor kosong berikutan kematian penyandangnya Karpal Singh daripada DAP, akibat nahas jalan raya di Kilometer 306.1 Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran Gua Tempurung di Kampar, Perak 17 April lalu.
Bekas Pengerusi DAP itu memenangi kerusi berkenaan pada pilihan raya umum ke-13 dengan majoriti 42,706 undi mengalahkan calon Barisan Nasional Teh Beng Yeam yang memperoleh 13,597 undi.
- mStar

0 comments :

© 2011-2014 PILIHANRAYA KINI . Designed by Bloggertheme9. Powered by Blogger.