Thursday, May 22, 2014

#PrkBukitGelugor : Abu Backer Tidak Langgar Peraturan SPR

pilihanraya kini     12:02 PM    



AYER ITAM - Tindakan calon Bebas PRK Parlimen Bukit Gelugor, Abu Backer Sidek Mohamad Zan yang mencetuskan kekecohan di hadapan bangunan Dun Pulau Pinang didapati tidak melanggar peraturan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Perkara itu disahkan Setiausaha SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh yang mengesahkan ia adalah sebahagian daripada cara calon itu berkempen.

“Saya melihat kempen di PRK Bukit Gelugor berjalan dengan baik, cuma apa yang berlaku semalam (kelmarin) iaitu salah seorang calon Bebas berkelakuan sedemikian, ia hanya cara beliau menjalankan kempen.

“Ia tidak melanggar mana-mana peraturan SPR, dan kita lihat ia sebagai cara individu itu sendiri dalam tempoh berkempen. Tiada sebarang tindakan akan diambil ke atas calon berkenaan,” katanya selepas melawat pusat mengundi awal di Balai Polis Ayer Itam, semalam.

Ditanya apakah tindakan SPR sekiranya Abu Backer menarik diri dari bertanding di PRK berkenaan, Abdul Ghani berkata, tindakan itu tidak akan dibenarkan kerana beliau sudah membayar wang deposit.

“Bagaimanapun, setakat ini, kita tidak menerima sebarang permohonan untuk menarik diri dari mana-mana calon,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Abdul Ghani berkata, sehingga kini, SPR belum menerima aduan berhubung calon Bebas, Mohamed Nabi Bux Mohamed Nabi Abdul Sathar yang menggunakan logo kerajaan negeri di poster kempennya.

Katanya, jika pihaknya menerima aduan selepas ini, SPR akan sasat dan tindakan akan diambil.

Sumber: Sinar Online


0 comments :

© 2011-2014 PILIHANRAYA KINI . Designed by Bloggertheme9. Powered by Blogger.