Saturday, May 24, 2014

#PrkBukitGelugor : Backer Buat Hal Lagi Kempen Hari Terakhir?

pilihanraya kini     5:03 PM    



Calon Bebas Abu Backer Sidek Mohamad Zan mencetuskan kontroversi lagi hari ini biarpun esok merupakan hari terakhir tempoh untuk berkempen bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Bukit Gelugor.

Kali ini dia mendakwa bahawa hotel tempatnya menginap, bersekongkol dengan DAP.

Katanya beliau sepatutnya pergi berkempen ke Pasar Taman Tun Sardon jam 8 pagi ini tetapi tidak dapat ke sana kerana 30 buah teksi yang diupahnya untuk turut sama dalam kempen itu memerlukan pembayaran.

“Saya tidak dapat mengeluarkan wang tunai berjumlah RM10,000 dari peti deposit keselamatan yang berada dalam bilik hotel untuk membayar mereka dan pihak hotel tidak membantu dengan cepat.

“Selepas mereka berjaya membuka peti deposit keselamatan, ia sudah terlambat. Pada masa yang sama, pihak hotel juga tidak membenarkan saya untuk meletak karavan dalam premis hotel.

“Saya tiada pilihan lain selain meletak kereta di luar bangunan hotel tetapi sekarang anda lihat, MPPP mengancam untuk menunda kereta saya kerana mengatakan ia menyebabkan halangan lalu lintas membuat saya mengesyaki bahawa pihak hotel juga bersekongkol menentang saya,” katanya dalam sidang akhbar yang diadakan di lobi hotel berkenaan, Sabtu.

Beliau turut membidas pihak polis kerana didakwa tidak meluluskan permit ceramah dan juga Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang didakwa tidak memberikan jawapan mengapa dia tidak boleh menukar logo kepada kuda jantan Ferrari.

“Kenapa permohonan saya untuk menggunakan dewan ceramah di beberapa kawasan seperti Kampung Melayu, Kampung Baru, Padang Brown dan stadium ditolak tanpa penjelasan,” katanya.

Ketika Abu Backer bertemu pemberita di lobi hotel berkenaan, kakitangan hotel memberitahu bahawa dia tidak boleh mengadakan sidang akhbar di kawasan lobi dan akan memberikannya sebuah bilik di pusat perniagaan namun Abu Backer berasa berat hati untuk menerimanya dan seterusnya menuduh hotel berkenaan tidak adil.

Jurucakap hotel kemudian menjelaskan bahawa pihaknya menghargai kehadiran Abu Backer namun terpaksa memindahkan sidang media berkenaan kerana mereka menjalankan perniagaan.

“Kami tidak berpihak dan menyebelahi sesiapa pun kerana pihak hotel sudah tentu memenuhi keperluan pelanggan tetapi pada masa yang sama kita juga mempunyai tanggungjawab dalam memastikan keselamatan dan ketenangan tetamu dan pelanggan kami,” katanya.

Sementara itu ketika dihubungi , Ketua Polis Daerah George Town ACP Mior Farid Al Athrash Wahid menafikan tidak meluluskan permohonan permit ceramah Abu Backer.

“Kami telah meluluskan dua permit ceramah beliau tetapi yang pertama tidak dapat diluluskan kerana lokasi ceramah itu tidak diluluskan oleh orang yang menyelia tempat itu, ” kata Mior ketika dihubungi.

Abu Backer sebelum ini berasa yakin dalam memenangi hati pengundi Cina dalam pilihan raya Bukit Gelugor.

“Saya berasa yakin kerana mempunyai sokongan mereka tetapi jika saya tewas, ia adalah kekalahan mereka kerana tidak memberikan peluang kepada saya untuk berkhidmat,” katanya.

Ketika ditanya mengenai apa yang dia akan lakukan sekiranya kehilangan wang deposit , Abu Backer berkata dia akan menganggapnya seperti derma zakat.

Sumber : The Rakyat Post


0 comments :

© 2011-2014 PILIHANRAYA KINI . Designed by Bloggertheme9. Powered by Blogger.