Friday, May 23, 2014

#PrkBukitGelugor : Backer Maafkan Guan Eng

pilihanraya kini     10:17 AM    



Calon bebas Pilihan Raya Kecil (PRK) Bukit Gelugor Abu Backer Sidek Mohamad Zan memaafkan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng atas kecederaan dirinya.

Katanya, beliau masih menghormati Guan Eng sebagai ketua menterinya dan mahu bekerjasama dengannya bagi menyelesaikan masalah rakyat di Pulau Pinang.

Justeru, katanya, beliau tidak jadi menyaman Guan Eng dan mahu berjumpa dengannya walau hanya untuk dua minit.

"Ketika itu saya marah. Tetapi selepas berfikir balik, saya ingat Nabi Muhammad itu pemaaf. Jadi saya maafkan beliau dan menghormati beliau sebagai ketua menteri saya," katanya kepada Malaysiakini semalam.

Selasa lalu, Backer yang menunggu di hadapan DUN sejak jam 12.30 tengah hari bertindak nekad menahan Lim yang mahu beredar dengan kereta kira-kira jam 2 petang.

Selepas 10 minit Backer yang dihalang oleh sekumpulan pengawal keselamatan DUN kemudiannya 'melanggar' kereta Mercedes Lim dan terus terbaring di atas jalan raya.

Hal ini menyebabkan kesesakan di Lebuh Light, di hadapan DUN.

Lim, pemandu dan pembantu peribadi beliau terus beredar tanpa turun dari kereta itu.

Menceritakan kembali pengalaman beliau, Backer menafikan beliau sengaja mahu menendang dan melanggar kereta Mercedez Benz setiausaha agung DAP itu.

"Saya ingat nak lompat dan panjat kereta itu tapi tersalah langkah sebab kereta itu mengundur.

"Yang kata saya langgar tu, sebenarnya saya terpelecok dan jatuh ke arah kereta. Kebetulan kereta itu sedang bergerak sikit ke hadapan jadi saya jatuh. Kena rusuk saya dan saya terbaring di jalan," kata beliau.

Backer berkata dalam keadaan kurang sedar selepas itu kerana masalah kekejangan otot dan kesakitan di pinggang dan rusuk ketika dihantar ke Hospital Pulau Pinang.

Beliau mendakwa hospital itu mahu membedahnya kerana mendapati tulang rusuknya patah dan mempunyai keretakan pada pinggulnya.

"Doktor di situ kata kalau tak bedah tulang yang patah itu boleh menjangkiti paru-paru. Jadi saya mahu dipindahkan ke hospital swasta untuk mendapatkan pendapat kedua," jelas beliau lagi.

Backer ditukarkan ke Hospital Loh Guan Lye pada pagi Rabu lalu dan menjalani semula ujian MRI dan CT Scan.

Beliau berkata doktor di situ mendapati tulang beliau tidak patah sebaliknya hanya bengkak dan lebam.

Peguam itu turut bertegas bahawa beliau tidak berlakon untuk mendapat publisiti, namun melakukan perkara itu hanya untuk bertemu dengan pemimpin tertinggi negeri itu.

"Buat apa saya nak berlakon. Takkan saya nak terus bagi orang hina saya sahaja.

"Saya nak jumpa Guan Eng. Apa salahnya dia berjumpa saya? Saya seorang saja. Takkan tak berani nak jumpa?" tambahnya.

Sumber: MalaysiaKini


0 comments :

© 2011-2014 PILIHANRAYA KINI . Designed by Bloggertheme9. Powered by Blogger.