Monday, May 5, 2014

#PRKBukitGelugor: Dapsy Tubuh Pasukan Khas

SHAH ALAM REBELS     4:30 PM    


Sayap Pemuda DAP (Dapsy), mewujudkan satu pasukan sebagai jentera kempen bagi menghadapi pilihan raya kecil (PRK) kawasan Parlimen Bukit Gelugor yang bakal berlangsung pada 25 Mei depan.

Ketua Dapsy Pulau Pinang Ng Wei Aik berkata anggota sayap itu akan digerak untuk berkempen dalam PRK itu dengan memfokus kepada isu berkaitan generasi muda dan menganjurkan acara sokongan dengan kerjasama DAP.

"Dapsy juga akan menganjurkan 'Pentas Pemuda', satu platform ceramah untuk kepimpinan politik generasi muda," katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau berkata Dapsy akan turut menggunakan medium siber bagi mendekati generasi muda, termasuk mereka yang bekerja atau belajar di luar Pulau Pinang, untuk kembali dan mengundi di kawasan Parlimen Bukit Gelugor.

Dalam perkembangan lain, Ng berkata Dapsy Pulau Pinang mengadakan mesyuarat agung tahunan bahagian pada 31 Mei bagi memilih barisan kepimpinan baharu.

Beliau berkata, sebahagian anggota sayap itu akan bersara tahun depan berikutan had umur yang ditetapkan iaitu daripada 40 tahun kepada 35 tahun. - Bernama


0 comments :

© 2011-2014 PILIHANRAYA KINI . Designed by Bloggertheme9. Powered by Blogger.