Saturday, May 24, 2014

#PrkBukitGelugor : Jangan Raikan Kemenangan Secara Terbuka

pilihanraya kini     11:08 AM    



GEORGE TOWN: Calon yang memenangi kerusi Pilihan Raya Kecil (PRK) Bukit Gelugor, Ahad ini dilarang meraikannya di tempat terbuka bagi mengelak berlaku sebarang kejadian tidak diingini.

Pemangku Pengarah Pilihan Raya negeri, Azizal Ahmad mengingatkan parti politik bertanding supaya mematuhi peraturan dan arahan pihak berkuasa.

"Parti politik yang berjaya dilarang raikan kemenangan secara berkumpul di tempat terbuka. Kalau nak rai di tempat tertutup," katanya di pusat media PRK Bukit Gelugor di bangunan Mara di sini, Jumaat.

Dalam perkembangan lain, Azizal berkata, sebanyak 17 buah sekolah di Bukit Gelugor digunakan sebagai Pusat Daerah Mengundi (PDM) pada Ahad ini.

Katanya, daripada jumlah itu, tiga sekolah mencatatkan jumlah pengundi paling ramai, antaranya, Sekolah Menengah Kebangsaan Air Itam (18,900 pengundi), Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Kong Ming (14,900) dan Sekolah Menengah Kebangsaan Hamid Khan (7,000).

Justeru, Azizal menasihatkan pengundi supaya keluar mengundi secara berperingkat bagi mengelak kesesakan di sekolah terbabit.

"Kita minta pengundi keluar secara berperingkat kerana tempoh mengundi panjang iaitu bermula pukul 8 pagi hingga 5 petang," katanya.

Selain itu, beliau berkata, keputusan PRK Bukit Gelugor dijangka diketahui seawal pukul 9 malam.

Katanya, proses penjumlahan undi dan keputusan akan diumumkan di Dewan Sri Pinang di sini.

"Jika tiada sebarang masalah, keputusan boleh diketahui seawal pukul 9 malam. Kita harapkan segalanya berjalan lancar," katanya.

mstar


0 comments :

© 2011-2014 PILIHANRAYA KINI . Designed by Bloggertheme9. Powered by Blogger.