Saturday, May 24, 2014

#PrkBukitGelugor : Papan Kempen PCM DiSimbah Cat Merah

pilihanraya kini     11:23 AM    


GEORGETOWN - Walaupun fasa berkempen hanya tinggal sehari, namun tiga papan kempen Parti Cinta Malaysia (PCM) menjadi mangsa khianat apabila telah disimbah cat individu yang tidak bertanggungjawab, kelmarin.

Kejadian ini menyebabkan dua papan iklan PCM di Jalan Udini, Gelugor, dan satu di Jalan Yap Choi Yi, Air Itam menjadi mangsa simbahan cat.

Naib Presiden PCM, Datuk Huan Cheng Guan berkata, kejadian yang berlaku semalam itu merupakan perbuatan khianat dan tidak bermaruah.

“Hanya tinggal sehari lagi untuk berkempen, mengapa mereka yang tidak bertanggungjawab melakukan semua ini. Kempenlah secara adil.

“Sebelum ini, gelar saya macam-macam, sekarang kena simbah cat dan potong pula. Saya pun tak faham apa yang membuatkan mereka tidak berpuas hati dengan papan iklan saya,” katanya sewaktu sidang media di bilik gerakan PCM, Air Itam.

Tambah Cheng Guan yang juga calon PCM bagi PRK Bukit Gelugor, perbuatan ini sangat memalukan dan berharap calon-calon dan penyokong masing-masing agar berkempen secara sihat.

“Saya rasa tak perlulah merosakkan bahan kempen calon lain. kita sama-samalah berkempen secara adil dan sihat.

“Tak perlu bermain cara kotor untuk mendapat kemenangan dan saya rasa cara ini tidak betul,” katanya.

Sementara itu, menjelang kemuncak PRK Bukit Gelugor, Cheng Guan mendapati sokongan terhadap beliau semakin bertambah dengan reaksi positif yang diterima semasa berkempen.

“Kebanyakan mereka memberi reaksi positif dan tahu latar belakang saya yang sebelum ini pernah menjadi ahli Parlimen Batu Kawan serta tahu cara saya bekerja.

“Saya juga banyak terlibat dengan NGO dan pernah menjadi tentera. Kebanyakan mereka mengenali saya secara peribadi dan saya harap akan mendapat sokongan sepenuhnya dari pengundi semasa PRK nanti,” katanya.

Sumber : Sinar Harian


0 comments :

© 2011-2014 PILIHANRAYA KINI . Designed by Bloggertheme9. Powered by Blogger.