Friday, May 23, 2014

#PrkBukitGelugor : Pas Haramkan Calon Bebas Guna Logo dan Lagu Pas

pilihanraya kini     3:03 PM    



BUKIT GELUGOR: PAS Pulau Pinang menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi kepada calon DAP, Ram Karpal dan akan mengambil tindakan tegas ke atas calon Bebas, Mohamad Nabi Bux yang memperalatkan lambang dan lagu rasmi PAS untuk berkempen.

Pesuruhjaya PAS negeri, Mohamad Sabu dalam sidang media semalam menjelaskan, PAS tidak pernah merestui Mohamad Nabi Bux sebagai calon Bebas apatah lagi berkempen atas nama PAS.

"Kami tidak pernah merestui beliau sebagai calon Bebas kerana PAS mempunyai pendirian bersama DAP dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Bukit Gelugor sepanjang kempen berlangsung, " terangnya.

Hadir sama dalam sidang media itu Timbalan Pesuruhjaya PAS negeri, Datuk Dr Mujahid Yusuf dan Rosidi Hussein.

Cara Mohamad Nabi Bux berkempen mengunakan logo dan lagu PAS ujarnya secara jelas menyalahi peraturan pilihan raya kerana PAS tidak bertanding dalam PRK Bukit Gelugor dan menjadi satu kesalahan menggunakan aset PAS tanpa kebenaran.

PAS tambahnya, akan mengumpulkan bukti berkaitan tindak tanduk calon Bebas itu dan bakal mengambil tindakan undang-undang terhadap beliau.

Sehubungan itu, beliau yang juga Timbalan Presiden PAS menyeru pengundi di kawasan Bukit Gelugor memberikan sokongan padu kepada Ram Karpal pada PRK 25 Mei ini.

Mohamad Bux yang mendakwa sebagai ahli PAS bertanding menentang calon DAP Ram Karpal atas alasan kononnya mahu hukum Hudud dilaksanakan pada tahun 2020 di Pulau Pinang.

 - HARAKAHDAILY


0 comments :

© 2011-2014 PILIHANRAYA KINI . Designed by Bloggertheme9. Powered by Blogger.