Friday, May 23, 2014

#PrkBukitGelugor: Ram Risau?

pilihanraya kini     4:34 PM    



Pilihan Raya Kecil (PRK) Bukit Gelugor mungkin tidak mampu menarik lebih 70 peratus pengundi di kawasan itu pada hari mengundi, Ahad ini.

Calon DAP Ramkarpal Singh walaupun yakin dengan sokongan yang diterima, tetap risau kerana ia akan menjejaskan peluangnya untuk menang besar sekiranya peratusan mereka yang keluar mengundi 25 Mei ini adalah rendah.

Katanya mungkin sukar untuk mencapai sehingga 86 peratus seperti dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) lalu tetapi sekiranya ada kira-kira 70 hingga 80 peratus keluar mengundi, ia sudah memadai.

“Saya yakin tetapi tidak terlalu yakin. Kami bimbang tentang jumlah kehadiran pengundi rendah.

“Kita boleh capai 70 hingga 80 peratus kerana kami telah berkempen secara agresif untuk menarik mereka keluar mengundi.

“Kami juga menarik pengundi yang menetap di luar Pulau Pinang untuk pulang mengundi,” katanya kepada pemberita.

Menurut Ramkarpal, peratusan keluar mengundi yang rendah juga akan menggagalkan usahanya menandingi pencapaian ayahnya Karpal Singh dalam PRU13 lalu.

“Kita sudah berkempen hampir semua kawasan Melayu, Cina dan India.

“Sambutan yang diterima sangat memberangsangkan dan kita berharap akan berterusan sehingga hari mengundi nanti,” katanya.

Selepas menjadi ahli Parlimen, sudah pasti kehidupan seharian juga berubah dan Ramkarpal menjelaskan beliau sudah bersedia ke arah itu.

“Itu sudah pasti, perubahan bukan setakat jadual harian tetapi juga kehidupan dan saya sudah bersedia untuk menghadapi situasi ini sebelum diumumkan sebagai calon lagi,” ujarnya.

Sumber : The Rakyat Post


0 comments :

© 2011-2014 PILIHANRAYA KINI . Designed by Bloggertheme9. Powered by Blogger.