Saturday, May 24, 2014

#PrkBukitGelugor : Ram Yakin 80 %

pilihanraya kini     11:46 AM    


AYER ITAM - Tempoh berkempen untuk calon PRK Bukit Gelugor berbaki kurang 24 jam sahaja lagi digunakan sepenuhnya calon DAP, Ramkarpal Singh Deo yang menaruh keyakinan mendapat 80 peratus undian.

"Jika sebelum ini saya tidak mengatakan peratusan undian yang boleh DAP capai, namun hari ini (semalam), saya berani kata, DAP kini menuju kepada 80 peratus undian. Walaupun keputusan rasmi belum diketahui, tetapi dengan respons yang diterima, saya pasti, 80 peratus dalam tangan (DAP). Diharap, pada hari keputusan nanti, peratusan undian akan lebih dari apa yang dijangkakan.

"Seperti yang saya katakan, kebimbangan saya tetap kepada jumlah pengundi yang keluar mengundi. Sebab itu, setiap kali berkempen, perkara ini saya beri penekanan. Undian mereka amat penting untuk DAP memenangi kerusi di Bukit Gelugor," katanya kepada media selepas berkempen di Restoran Nasi Kandar Kampung Melayu semalam.

Menurutnya, kemenangan di kawasan Parlimen itu amat penting baginya untuk mengekalkan empayar mendiang bapanya, Karpal Singh.

"Siapa tidak mahu menang besar...kan? Sebab itu saya selalu minta pengundi keluar pada 25 Mei ini untuk menunaikan tanggungjawab mereka.

"Bagi saya, jika tidak mampu untuk memperoleh majoriti yang tinggi pun, sekurang-kurang sama seperti majoriti pada pilihan raya umum yang lalu. Saya dan jentera parti bekerja keras untuk satu undi," katanya.

Ditanya berhubung calon lain yang dianggap saingan paling digeruni, Ramkarpal berkata, isu saingan tidak timbul kerana setiap calon mempunyai cara tersendiri.

"Tiada istilah calon mana yang saya takuti. Setiap calon ada cara tersendiri untuk berkempen. Namun, bagi saya, perkara itu tidak boleh diambil mudah. Bagi saya, ketiga-tiga calon lain tetap memberi saingan, mereka juga bekerja keras untuk mencapai kemenangan.

"Mereka ada isu-isu yang dibangkitkan yang perlu saya titik beratkan. Mereka ada keistimewaan sendiri," katanya.

Sumber: Sinar Harian


0 comments :

© 2011-2014 PILIHANRAYA KINI . Designed by Bloggertheme9. Powered by Blogger.