Tuesday, May 27, 2014

#PRKTelukIntan: 95.61 Peratus Pengundi Awal Keluar Mengundi

pilihanraya kini     7:27 PM    




TELUK INTAN: Sebanyak 95.61 peratus atau 392 daripada 410 pengundi awal Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Teluk Intan mengundi di Dewan Serbaguna Ibu Pejabat Polis Daerah Hilir Perak di sini hari ini. 

Pengarah SPR Negeri Perak, Ahmad Adli Abdullah, berkata proses pengundian awal yang bermula sejak 8 pagi hingga 5 petang berjalan lancar. 

"Selain itu ejen calon, penyokong dan calon parti itu sendiri memberikan kerjasama yang baik," katanya kepada pemberita selepas pusat pengundian awal itu ditutup. 

Katanya, peti undian awal yang dimeteri itu kemudiannya dibawa ke Majlis Perbandaran Teluk Intan untuk disimpan di dalam peti besi sebelum kiraan kertas undi dilakukan pada Sabtu ini bersama kertas undian pengundian biasa. 

Beliau menggesa penyokong dan parti politik yang bertanding serta calon yang bertanding supaya sentiasa mematuhi peraturan serta undang-undang pilihan raya bagi memastikan keseluruhan perjalanan PRK Parlimen Teluk Intan berjalan dengan baik. 

"Sekali lagi saya ingatkan supaya parti politik tidak mewujudkan 'barung panas' di semua pusat pengundian pada Sabtu ini kerana ia tidak dibenarkan. Mereka juga diminta untuk mengawal penyokong mereka pada hari berkenaan," katanya. 

Ahmad Adli berkata, SPR akan membuat persiapan terakhir bagi proses pengundian biasa pada Jumaat ini di Sekolah Menengah Kebangsaan Abdul Rahman Talib bermula jam 8 pagi. 
"Pada hari pengundian Sabtu ini, kita menjangkakan SPR akan mula menerima Borang 14 (yang mengandungi maklumat keputusan pengiraan undi) pada jam 6.30 petang. 

"Selain itu bagi Parlimen Teluk Intan ini ada juga pusat pengundian yang jauh dari pusat penjumlahan rasmi undi yang dibuat di sekolah yang sama," katanya. 

PRK Parlimen Teluk Intan menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional, Datuk Mah Siew Keong dan calon DAP, Dyana Sofya Mohd Daud. 

- BERNAMA


0 comments :

© 2011-2014 PILIHANRAYA KINI . Designed by Bloggertheme9. Powered by Blogger.