Tuesday, May 27, 2014

#PrkTelukIntan : Aktiviti Sogok Harus Disiasat Dan Dibanteras Segera

pilihanraya kini     12:45 PM    



PETALING JAYA: Tindakan serta merta harus diambil terhadap pihak yang membuat sogokan sewaktu Pilihan Raya Kecil (PRK) Teluk Intan

Menurut Ahli Parlimen Ipoh Barat M. Kulasegaran, (gambar) , pada 22 Mei lalu, sewaktu pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat (PR) berkempen di Novia Scotia Estate, beliau mendapati bahawa penduduk-penduduk kampung tersebut telah dihadiahkan hamper yang dianggarkan bernilai sekurang-kurangnya RM150 setiap paket.

“Kami diberitahu bahawa hamper tersebut telah ditaja oleh parti politik yang rapat dengan Barisan Nasional (BN) dan telah diberikan kepada penduduk tempatan dan pengundi di Teluk Intan. Ternyata perbuatan ini telah melanggari Akta Kesalahan Pilihan Raya (Elections Offences Act 1954),” katanya dalam satu kenyataan kepada FMT.

Dalam pada masa yang sama, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi juga telah nyatakan secara terbuka bahawa beliau akan menaja pakaian seragam baru kepada 8,639 orang anggota Rela yang layak mengundi di Teluk Intan sekiranya calon BN Mah Siew Keong memenangi pilihan raya kecil Teluk Intan pada 31 Mei nanti.

“Kenyataan Ahmad Zahid Hamidi itu merupakan satu pelanggaran yang serius ke atas Akta Kesalahan Pilihan Raya (Elections Offences Act 1954),” ujarnya.

Jelas M. Kulasegaran di dalam Akta Kesalahan Pilihan Raya Seksyen 10 telah jelas menyatakan bahawa mana-mana pihak yang menawarkan dan menjanjikan sesuatu janji dan memberikan wang atau material yang setaraf dengannya sebelum, semasa atau selepas pilihan raya secara langsung dan secara tidak langsung telah melanggari kesalahan penyogokan dalam Seksyen 10 akta ini.

“Saya menyeru agar Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Perak menubuhkan pasukan penguatkuasa untuk menjalankan siasatan susulan terhadap kes ini.

“Dalam Akta Kesalahan Pilihan Raya Seksyen 27B secara jelas telah menyatakan bahawa SPR berhak menubuhkan pasukan penguatkuasa atau apa-apa bilangan pasukan penguatkuasa bagi memantau dan mengawal aktiviti calon sepanjang tempoh berkempen sehingga tamat hari pengundi,” katanya.

M. Kulasegaran turut berharap agar SPR Perak menitikberatkan dan memberi tumpuan terhadap perkara ini.

“Saya berharap agar SPR Perak akan menitikberatkan serta memberi tumpuan bagi mengambil tindakan segera terhadap kemelut penyogokan yang berlaku ini,” katanya.

0 comments :

© 2011-2014 PILIHANRAYA KINI . Designed by Bloggertheme9. Powered by Blogger.