Saturday, May 24, 2014

#PrkTelukIntan : BN Berpotensi Menang

pilihanraya kini     1:03 PM    


Barisan Nasional (BN) berpotensi untuk memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Teluk Intan kerana mempunyai sebanyak 9,120 pengundi 'putih' yang berdaftar sebagai ahli parti tetapi tidak keluar mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan ketika mendedahkan perkara itu berkata, BN akan mencari individu-individu tersebut yang telah dikenal pasti untuk diajak keluar mengundi pada 31 Mei ini memandangkan mereka adalah ahli parti yang bukan 'atas pagar'.

"Semalam saya hadir empat mesyuarat termasuk bersama Timbalan Perdana Menteri, dua dengan Jabatan Penerangan dan satu 'war room'. Kita ada 9,120 pengundi daripada gabungan parti UMNO, MCA, MIC, Gerakan, PPP dan Barisan Kemajuan India Malaysia (IPF) yang tidak keluar mengundi pada 5 Mei 2013.

"Mereka adalah aset yang kita tidak gunakan untuk memastikan kemenangan calon BN, Datuk Mah Siew Keong ketika itu. Kalau kita bahagi dua, dan jika kita dapat 3,600 undi baharu, kita akan menang," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis ceramah perdana anjuran BN di Kampung Selabak di sini semalam.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Kok Lanas, Datuk Md. Alwi Che Ahmad dan Pengerusi Biro Institusi Pengajian Tinggi Pemuda UMNO, Dr. Fathul Bari Mat Jahaya.

PRK Parlimen Teluk Intan diadakan berikutan kematian penyandangnya, Seah Leong Peng, 58, daripada DAP, pada 1 Mei lalu.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13), Leong Peng mengalahkan Siew Keong dan calon Bebas K. Moralingam dengan majoriti 7,313 undi.

Dalam pada itu, Ahmad yang juga Timbalan Menteri Kewangan berkata, Siew Keong merupakan calon pilihan tepat kerana merupakan anak tempatan yang mempunyai latar belakang berpendidikan tinggi.

Selain itu, katanya, Presiden Gerakan itu cukup berpengalaman kerana telah menjawat dua jawatan Timbalan Menteri melibatkan Kementerian Perdagangan, Antarabangsa dan Industri serta Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, bermula dari 2004 hingga 2008.

"Presiden Gerakan tak pernah tiada yang tidak menjadi Menteri. Lima puluh tahun dahulu, pemimpin di sini merupakan Menteri Kesihatan. Jadi, peluang ini bukan datang sekali dua kepada kita, inilah masanya, jangan tolak tuah Allah yang hendak berikan kepada kita," katanya.

Tambah Ahmad, bersandarkan dasar-dasar kerajaan yang prihatin terhadap rakyat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir, beliau yakin, faktor itu akan mendorong pengundi untuk memilih BN.

"Kerajaan bukan sahaja menekankan soal pendidikan kerana telah memberi peruntukan tertinggi kepada Kementerian Pendidikan, malah kita juga akan lancarkan dana pasar malam sebanyak RM100 juta tidak lama lagi bagi membolehkan pinjaman sehingga RM30,000 dibuat untuk berniaga," katanya.

sumber - utusan


0 comments :

© 2011-2014 PILIHANRAYA KINI . Designed by Bloggertheme9. Powered by Blogger.