Wednesday, May 21, 2014

#PRKTELUKINTAN : #BN BOLEH MENANG JIKA.....?

pilihanraya kini     5:22 PM    


TELUK INTAN, 21 Mei (Bernama) -- Barisan Nasional (BN) mempunyai peluang untuk menang pada pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Teluk Intan jika 9,120 anggota parti komponen itu yang tidak mengundi pada pilihan raya umum (PRU) 2013 menunaikan tanggungjawab mereka pada 31 Mei ini.

Ketua Penerangan Umno Datuk Ahmad Maslan berkata mereka adalah pengundi putih yang boleh memberi kemenangan kepada calon BN Datuk Mah Siew Keong pada PRK ini.

"Saya nak kongsi kenapa kita boleh menang. Saya nak bocor satu rahsia. Seramai 9,120 orang daripada parti Umno, Gerakan, MCA, MIC, PPP, IPF tidak keluar mengundi pada 5 Mei 2013 (PRU)," katanya ketika menyampaikan ceramah di Kampung Selabak di sini, Selasa malam.

Katanya mereka adalah aset BN yang tidak digunakan bagi memastikan kemenangan Mah pada PRU lepas.

"Kita telah kenal pasti mereka. Insya-Allah kita akan cari, pujuk dan bawa mereka kerana mereka anggota parti komponen," katanya

"Mereka bukan pengundi atas pagar. Kalau atas pagar satu kerja pulak nak masuk dalam pagar. Yang ni dah putih tapi tak keluar mengundi," katanya.

PRK kerusi Parlimen Teluk Intan menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara Mah dan calon DAP Dyana Sofya Mohd Daud.

Pengundian awal akan diadakan 27 Mei ini, manakala pengundian ditetapkan pada 31 Mei.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian penyandang kerusi Parlimen itu, Seah Leong Peng, 48, daripada DAP akibat kanser pada 1 Mei lepas.

-- BERNAMA

0 comments :

© 2011-2014 PILIHANRAYA KINI . Designed by Bloggertheme9. Powered by Blogger.