Thursday, May 22, 2014

#PrkTelukIntan : Calon Bebas #PrkBukitGelugor Pelik Pas Sokong Dyana?

pilihanraya kini     2:37 AM    



Calon bebas pilihan raya kecil (PRK) Bukit Gelugor Mohamed Nabi Bux Mohamed Abdul Sathar mempersoalkan mengapa pimpinan PAS dan ahlinya masih mengutuk Datin Seri Rosmah Mansor.


Menurut beliau Rosmah, isteri perdana menteri Datuk Seri Najib Razak tidak pernah menentang hudud, berbeza dengan calon DAP Teluk Intan Dyana Sofya Mohd Daud.

Beliau meluahkan rasa sedih kerana dianaktirikan pemimpin PAS yang sanggup membantu Dyana yang dakwanya menolak hudud berbanding dirinya yang memperjuangkan agenda hudud di Bukit Gelugor.

"Tidak manis dan sesuai bagi penceramah PAS terutamanya bagi Mat Sabu dan (Datuk) Mahfuz Omar mengkritik dan menghentam Datin Seri Rosmah sebab calon DAP terang-terang menentang hudud.

"Secara peribadi, ya, Rosmah tak bertudung sama seperti Dyana namun Datin Seri Rosmah tidak pernah menentang hudud," kata beliau dalam sidang media di Taman Tun Sardon di Pulau Pinang hari ini.

Beliau turut memberitahu telah bertemu dan dihubungi beberapa pemimpin PAS negeri lain untuk memberi sokongan moral terhadap beliau.

Bagaimanapun beliau tidak mahu mendedahkan identiti pemimpin berkenaan atas alasan ia sulit.

"Walaupun ramai pemimpin PAS tak bantu saya namun mereka menghubungi dan bertemu saya di rempat tertentu untuk beri sokongan moral kepada saya.

"Saya juga berterima kasih kepada tiga ahli PAS Pulau Pinang dan satu dari Kedah yang bantu saya membuat poster kempen," kata beliau.

Sumber : Malaysiakini


0 comments :

© 2011-2014 PILIHANRAYA KINI . Designed by Bloggertheme9. Powered by Blogger.