Friday, May 23, 2014

#PrkTelukIntan : Calon Tempatan Atau Luar?

pilihanraya kini     3:34 PM    




TELUK INTAN – Jika keputusan empat pilihan raya umum yang lepas untuk kawasan Parlimen Teluk Intan dijadikan ukuran, trend pilihan pengundi di kawasan ini ialah memihak kepada wakil rakyat dari kalangan anak tempatan.

Bagaimanapun DAP dilihat mengabaikan kehendak penduduk dengan mencalonkan bukan sahaja calon bukan anak tempatan tetapi gadis muda Melayu.

Adakah DAP yakin pengundi sanggup berubah sikap demi parti yang disokong mereka?

Kebanyakan mereka yang ditemui Bernama, sedikit ragu untuk mengiyakan anggapan itu, kerana bagi mereka pengundi di kawasan Parlimen Teluk Intan amat mengambil berat isu anak tempatan ini.

Eric Tan yang bekerja sendiri berkata pengundi lebih suka jika calon PRK ini dari kalangan anak tempatan untuk keselesaan dan kemudahan berhubung berbanding calon dari luar.

“Kami pernah mengalami kesukaran itu dahulu untuk mendapatkan bantuan wakil rakyat yang berasal dari luar, kerana mereka selalu tidak ada di sini,” katanya.

Sejak PRU 1999, pengundi memilih calon anak tempatan iaitu Datuk Mah Siew Keong daripada Gerakan untuk tempoh dua penggal hingga 2008 dan mendiang Seah Leong Peng daripada DAP pada 2008 dan 2013.
Bagaimanapun Tan melihat pemilihan Dyana Sofya Mohd Daud, 27, sebagai calon DAP umpama suatu yang di luar amalan biasa tetapi cepat mengaitkannya dengan pemilihan DAP pada 1980-an yang pernah menurunkan Fadzlan Yahya untuk bertanding dalam PRU 1986.

Dalam pertandingan tiga penjuru itu antara Fadzlan, calon BN daripada Gerakan mendiang Ong Tim Kim dan calon PAS Nadzri Baharuddin, Ong menang dengan majoriti 1,443 undi.

Bagaimanapun Fadzlan menang untuk kerusi Dewan Undangan Negeri Pasir Bedamar yang merupakan kubu kuat DAP dengan memperoleh 10,845 undi mengalahkan calon BN Gan Loot Heng yang mendapat 7,667 undi.

Bekas naib presiden DAP itu mempertahankan kerusi DUN berkenaan untuk tiga penggal.

Sementara itu, Ketua Pemuda MIC Bahagian Teluk Intan A. Sri Murugan berkata wakil rakyat bukan anak tempatan sememangnya sukar untuk menjaga kepentingan dan kebajikan penduduk Teluk Intan serta tidak akan memahami keperluan dan kehendak penduduk.

Katanya wakil rakyat DAP yang berada di luar kawasan selepas memenangi pilihan raya bukan sahaja gagal ditemui, malah janji yang dibuat semasa berkempen tidak ditunaikan, dan masalah rakyat tidak diselesaikan.

Beliau berkata ini berbeza dengan wakil rakyat dari kalangan penduduk tempatan seperti calon BN, Mah, “walaupun kalah tetap bantu kami, tak kira Melayu, Cina atau India. Kalau ada masalah kami boleh jumpa dia,” katanya.

Penganalisis politik Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia, Prof Madya Dr Sivamurugan Pandian berpendapat penyokong tegar parti DAP berkemungkinan akan melakukan ‘undi protes’ atau tidak keluar mengundi berikutan tindakan kepimpinan parti itu mengetengahkan orang luar dan bukan Cina.

“Banyak faktor boleh menyumbang kepada protes. Ia boleh berpunca dari dalam parti yang berpuak-puak di Teluk Intan, isu seperti hudud dan sikap berpuak-puak di peringkat negeri. Dilemanya, sama ada ia akan membawa kepada undi protes,” katanya.

Sivamurugan berkata jika terdapat undi protes yang besar, ia boleh membawa kepada pakatan pembangkang mengkaji semula kerjasama mereka.

Seorang penganalisis politik bebas daripada Universiti Teknologi Mara (UiTM) Datin Paduka Prof Dr Ramlah Adam juga berkata tindakan DAP itu seolah-olah mempersenda penduduk Teluk Intan dengan meletakkan seorang calon dari luar kawasan dan terlalu ‘hijau’.

“Bolehkah orang tempatan harap dia sebagai wakil? Dan bercakap pula menentang pelaksanaan hudud…walaupun dia peguam, tetapi bukan syariah,” katanya yang turut tidak menolak kemungkinan berlaku undi protes untuk DAP.

Pensyarah Kanan, Fakulti Ekonomi dan Pengurusan Univesiti Putra Malaysia (UPM), M Neelamehan, menasihati pengundi Teluk Intan supaya membuat keputusan bijak dalam memilih anggota Parlimen baharu yang seharusnya mampu membawa perubahan dan kebaikan kepada mereka.

PRK Parlimen Teluk Intan menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon BN Mah dengan calon DAP Dyana yang diadakan berikutan wakil rakyatnya dari DAP Seah Leong Peng, 48, meninggal dunia akibat kanser di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), 1 Mei lepas. 


– BERNAMA


0 comments :

© 2011-2014 PILIHANRAYA KINI . Designed by Bloggertheme9. Powered by Blogger.