Wednesday, May 28, 2014

#PrkTelukIntan : Contohi pengundi Bukit Gelugor - Ramkarpal

pilihanraya kini     9:10 PM    




TELUK INTAN: Ramkarpal Singh Deo yang baru memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Bukit Gelugor merayu para pengundi Teluk Intan mengambil contoh kebijaksanaan pengundi Bukit Gelugor pada PRK Parlimen Teluk Intan 31 Mei ini.

Beliau yang berucap di Pekan Teluk Intan semalam memberitahu pengundi Teluk Intan perlu mengekalkan kemenangan calon yang mewakili Pakatan Rakyat dari DAP, Dyana Sofya Mohd Daud agar hak rakyat terus mendapat pembelaan.

"Satu undi kita ini adalah undi untuk kita menentang rasuah, penyelewengan dan segala bentuk penindasan tekanan hidup terhadap rakyat.

"Undi kita ini sebagai satu usaha kita menuntut pendidikan percuma, soal keselamatan mahupun keluar dari belenggu kemiskinan," ucap beliau di hadapan kira-kira lima ribu orang.

Jelas beliau, PRK Bukit Gelugor merupakan satu pilihan raya yang cukup aman dalam sejarah pilihan raya sebelum ini.

"Bila Barisan Nasional (BN) tidak bertanding, PRK akan menjadi cukup aman tanpa ada sebarang provokasi.

"Tetapi jika mereka menyertai pelbagai fitnah, budaya samseng timbul. Kita tengok dari awal lagi bagaimana Dyana difitnah dengan gambar-gambar seksi, sekarang bukan dasar yang dibawa tetapi politik kotor.

"Kita berlawan dengan hujah, kita tidak berlawan dengan tangan ataupun kekerasan. Pakatan Rakyat menolak politik samseng," katanya.

Tambahnya lagi, BN akan terus berusaha bagi memastikan calon Pakatan Rakyat gagal memasuki parlimen bagi memudahkan mereka meluluskan dasar yang menekan hidup rakyat.

"BN memang tidak mahu kita berada di parlimen, sebab mereka tahu kita akan berhujah menentang dasar-dasar yang menekan rakyat seperti mana GST.

"BN hanya mahu calon yang tahu setuju sahaja dan takut untuk berhujah menentang dasar-dasar yang zalim, ini yang mereka mahu," sambung beliau.

Beliau menyeru agar pengundi Teluk Intan mengambil peluang yang ada ini untuk mengekalkan kemenangan dan sebagai isyarat kepada kerajaan agar tidak terus melaksanakan dasar-dasar yang membebankan kehidupan rakyat. 

-HARAKAHDAILY


1 comments :

kasim said...

Ni sekok lagin MALA'UN bawa sial

© 2011-2014 PILIHANRAYA KINI . Designed by Bloggertheme9. Powered by Blogger.