Monday, May 26, 2014

#PrkTelukIntan : DAP Bimbang Peratus Undi Merosot

pilihanraya kini     7:23 PM    





TELUK INTAN, 26 Mei (Bernama) -- DAP bimbang peratusan keluar mengundi yang rendah pada hari pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Teluk Intan Sabtu ini boleh menjejas peluang calonnya untuk menang.

Justeru itu, penasihat DAP Lim Kit Siang merayu kesemua pengundi, terutama yang berada di luar Teluk Intan untuk pulang menunaikan tanggungjawab.

"Ini mustahak (kerana) situasi di (PRK Parlimen) Bukit Gelugor adalah berbeza kerana pengundi sudah merasakan DAP pasti menang di situ.

"Tetapi di Teluk Intan, DAP belum tentu boleh menang," katanya pada sidang akhbar bersama calon DAP Dyana Sofya Mohd Daud di sini Isnin.

Beliau berkata jumlah peratusan keluar mengundi yang rendah seperti pada PRK Parlimen Bukit Gelugor semalam, iaitu kira-kira 56 peratus, sudah tentu akan memberi masalah kepada DAP bagi mengekalkan kemenangannya di Teluk Intan.

Jika peratus keluar mengundi Sabtu ini rendah, "I think we are gone case" (Saya fikir, habislah kita), kata Lim.

"Kita perlukan jumlah keluar mengundi paling banyak," katanya.

Semalam DAP mengekalkan kerusi Parlimen Bukit Gelugor menerusi calonnya Ramkarpal Singh Deo, dalam pertandingan empat penjuru, dengan majoriti berkurangan iaitu 37,659 undi berbanding yang diraih mendiang bapanya Karpal Singh 42,706 undi.

Pada PRK Teluk Intan, terdapat sejumlah 60,349 pemilih berdaftar terdiri daripada 59,927 pengundi biasa, 410 pengundi awal dan 12 pengundi berada di luar negara.

PRK itu menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional (BN) Datuk Mah Siew Keong dengan Dyana Sofya.

- BERNAMA


0 comments :

© 2011-2014 PILIHANRAYA KINI . Designed by Bloggertheme9. Powered by Blogger.