Saturday, May 24, 2014

#PrkTelukIntan : DAP Perak Bermasalah Dengan Dyana

pilihanraya kini     1:13 PM    



Tindakan DAP yang mencalonkan Dyana Sofya Mohd. Daud dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Teluk Intan didakwa menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan ahli parti itu, terutama di peringkat negeri Perak.

Bekas Pengerusi DAP Cawangan Sungai Pelek, Tan Tuan Tat berkata, ini berikutan masih terdapat ramai calon yang berpengalaman dan layak bertanding berbanding peguam muda yang berusia 27 tahun itu.

"Difahamkan, Penge­rusi DAP Perak, Nga Kor Ming, Penasihat DAP negeri, Datuk Ngeh Koo Ham dan Ahli Parlimen Ipoh Barat M. Kulasegaran menghantar tiga cadangan nama calon kepada pimpinan Pusat supaya mereka boleh memilih sebagaimana yang diinginkan oleh kepimpinan ne­geri tersebut.

"Jadi kenapa Dyana diletakkan sebagai calon? Setidak-tidaknya hormat ke­pada kepimpinan di Perak. Hanya Penasihat DAP, Lim Kit Siang sahaja yang boleh menjawab soalan ini. Mengapa mereka memilih dia dengan membelakangkan cadangan ketiga-tiga pemimpin tersebut.

"Malah, jika dilihat pada kempen mereka, tiga pemimpin itu tidak kelihatan bersama membantu turun padang," katanya dalam sidang akhbar mengenai Kit Siang sebagai Setiausaha Politik Dyana di sini hari ini.

Dalam pada itu, Tuan Tat turut membayangkan pencalonan Dyana dilihat lebih kepada mempunyai agenda tersendiri.

"Pemilihan Dyana dilihat seolah-olah mahu menidakkan suara ahli-ahli politik DAP Perak. Malah, terdapat ramai anak tempatan yang sangat berkaliber dalam parti tersebut yang boleh diletakkan sebagai calon di kawasan tersebut. Namun mereka mengikut perasaan sendiri. Beginilah sikap beberapa pemimpin tertinggi DAP. Kalau bertindak demikian dalam parti sendiri bagaimana mereka boleh memimpin sebuah negara.

"Oleh itu, ahli DAP perlu berani melawan dan bangkit menentang kepimpinan sedia ada sekiranya wujud unsur-unsur penindasan melibatkan kuasa empayar besar di dalam parti itu," katanya.

Sementara itu, Tuan Tat mempersoalkan status pencalonan Dyana sama ada mendapat persetujuan daripada pemimpin tertinggi di Perak.

Ini berikutan, sepanjang tempoh berkempen dilihat beberapa pemimpin tertentu sahaja yang memberi sokongan kepada Dyana.

"Ketika di hadapan pemberita, Kit Siang mengatakan bahawa Dyana sebagai Setiausaha Politik beliau. Namun jelas kita dapat lihat di televisyen Kit Siang menjadi Setiausaha Politik kepada Dyana dengan membantu dia menjawab soalan daripada wartawan. Kit Siang perlu menghentikan hipokrasi ini, Setiap pergerakan Dyana dilihat seperti tersekat," katanya.

sumber - utusan


0 comments :

© 2011-2014 PILIHANRAYA KINI . Designed by Bloggertheme9. Powered by Blogger.