Thursday, May 29, 2014

#PrkTelukIntan : DAP Sahkan Dyana Sofya Bantah Pelaksanaan Hudud Di Malaysia

pilihanraya kini     7:46 PM    



AIDCNews – 29/5/14 – Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng hari ini mengesahkan calon parti itu dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Teluk Intan, Dyana Sofya Mohd. Daud mempunyai pendirian yang sama dengan DAP berhubung undang-undang hudud.

Guan Eng mendakwa, Dyana Sofya menyokong pendirian DAP iaitu membantah pelaksanaan undang-undang hudud di Malaysia kerana ia bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

“Dyana Sofya telah menyatakan sokongan kepada pendirian DAP untuk tidak membantah hudud dalam Islam tetapi membantah pelaksanaan undang-undang hudud di Malaysia kerana ia bertentangan dengan Perlembagaan.

“Pendirian Dyana itu lebih baik berbanding pemimpin UMNO yang mahu melaksanakan undang-undang hudud,” dakwanya melalui satu kenyataan media, lapor mynewshub.

Sementara itu, Naib Presiden PAS, Salahudin Ayub percaya isu hudud tidak akan mempengaruhi penyokong parti itu untuk memboikot calon DAP, Dyana Sofya PRK Teluk Intan.

Beliau berkata, tiada masalah yang timbul sekiranya penyokong PAS mendapatkan penjelasan yang tepat mengenai isu berkenaan dan kemudiannya akan menyokong DAP.

“Saya percaya ia tidak sampai ke tahap boikot. Jika ada pun, kita akan memberikan penerangan kepada mereka tentang penjelasan isu hudud ini.

“Masyarakat mesti dididik dengan pengetahuan dan ilmu yang dapat membantu mereka untuk memberikan penilaian terhadap mana-mana isu,” katanya kepada pemberita di Kampung Padang Tembak, Teluk Intan, hari ini, lapor Mstar.

Salahudin berkata, isu hudud tidak berbangkit buat PAS untuk bersama-sama dengan DAP dalam kempen PRK Teluk Intan.

“Sewaktu kita (PAS) mula-mula mengenali DAP, mereka sudah tidak bersetuju tentang hudud.

“DAP pun tahu tentang pendirian PAS tetapi itu tidak menghalang kita bersama-sama untuk menubuhkan Pakatan Rakyat.

“Ia juga sama sekali tidak menghalang PAS untuk terus memperjuangkan syariat Islam dalam negara kita,” katanya.

Sumber : Anwaraidc


0 comments :

© 2011-2014 PILIHANRAYA KINI . Designed by Bloggertheme9. Powered by Blogger.